AZIZULHASNI (kiri) bersama-sama kontinjen terakhir negara yang berlepas ke Tokyo pagi tadi. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
AZIZULHASNI (kiri) bersama-sama kontinjen terakhir negara yang berlepas ke Tokyo pagi tadi. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Doakan keselamatan dan kesihatan semua atlet dan pegawai sukan di Sukan Olimpik Tokyo.

Itu permintaan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kepada semua rakyat Malaysia supaya atlet dan pegawai pasukan Malaysia tidak berhadapan sebarang masalah untuk bersaing di pentas sukan paling besar di dunia itu.

Selain itu, beliau juga meminta rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada atlet negara dalam usaha merealisasikan impian membawa pulang sasaran pingat.

Reezal Merican turut mengiringi kumpulan terakhir barisan kontinjen negara ke Tokyo untuk memberi semangat kepada atlet Malaysia untuk berjuang meraih kejayaan.

Turut sama berlepas adalah atlet berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, atlet terjun negara iaitu Cheong Jun Hoong serta atlet olahraga negara, Lee Hup Wei dan Azreen Nabila Alias yang berangkat ke Tokyo pada awal pagi tadi.

Kontinjen negara itu bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH70 pada pukul 9.50 pagi tadi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun pada 6.05 petang waktu tempatan.

Kontinjen negara mensasarkan tiga pungutan pingat dan salah satu daripadanya adalah pingat emas dari tiga jenis sukan iaitu badminton, akuatik terjun dan berbasikal trek.

Turut hadir bagi memberi sokongan di KLIA hari ini adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 4:17 PM