WAJAH Zehra mencuri tumpuan ramai dalam dan luar gelanggang bola tampar.
WAJAH Zehra mencuri tumpuan ramai dalam dan luar gelanggang bola tampar.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KEHADIRAN beberapa atlet wanita jelita di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 sememangnya mencuri tumpuan.

Persis supermodel, atlet berkenaan bukan sahaja menjadi buruan lensa jurugambar, malah turut menarik perhatian penonton seluruh dunia yang menyaksikan acara pertandingan menerusi televisyen.

Antara yang menjadi perhatian adalah perenang dari Afrika Selatan, Tatjana Schoenmaker, 24, pemain papan selaju Brazil, Leticia Bufoni, pemain bola tampar Turki, Zehra Gunes dan pelari trek Jerman, Alicia Schmidt.

Meskipun baharu penampilan pertama di temasya olimpik, Tatjana berjaya memecahkan rekod dunia dalam acara renang 200 meter (m) kuak dada dengan masa dua minit 18.95 saat, sekali gus menyumbang pingat emas untuk Afrika Selatan pada acara Sabtu lalu.

Penat lelah Tatjana berlatih selama lebih 10 tahun berbaloi apabila dia meleburkan rekod lebih tujuh tahun yang dipegang perenang Denmark, Rikke Moller Pedersen di Kejohanan Dunia di Barcelona, Sepanyol pada 2013.

Lebih membanggakan, gadis manis itu juga menjadi perenang wanita pertama dari Afrika Selatan yang memenangi pingat emas di ukan Olimpik sejak 20 tahun lalu.

"Ini adalah penyertaan pertama saya selain berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir sememangnya sudah melangkaui jangkaan.

ALICIA antara atlet wanita paling menawan yang beraksi di Sukan Olimpik Tokyo.
ALICIA antara atlet wanita paling menawan yang beraksi di Sukan Olimpik Tokyo.

"Saya teruja dan tidak sabar kembali ke pangkuan keluarga untuk meraikan kejayaan ini," katanya.

Pada masa sama, penyertaan gadis cantik yang juga pemain papan selaju kebanggaan Brazil, Leticia juga mencuri tumpuan ramai di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Leticia, 28, diiktiraf antara ikon pemain papan selaju terbaik dunia dan pernah memenangi kejohanan X Games sebanyak enam kali dalam 12 penyertaan.

Bakat dan kemahiran itu turut membolehkan Leticia dinamakan Wanita Paling Berkuasa dalam Sukan Antarabangsa oleh majalah terkemuka, Forbes pada 2018.

Begitupun, perjalanan karier Leticia tidak seindah yang disangka kerana pada peringkat awal bapanya tidak memberi restu.

"Bapa berfikiran, sukan papan selaju ini hanya untuk lelaki dan bukan perempuan.

"Selain itu, ketika saya mula berjinak-jinak dalam sukan ini 20 tahun lalu, ramai yang memandang serong kerana masih menganggap ia hanya untuk lelaki.

"Namun, hari ini ia sudah jauh berubah dan sukar untuk dipercayai bahawa tahap pencapaian wanita dalam sukan ini meningkat dengan ketara," katanya.

Bagi peminat bola tampar, nama Zehra Gunes pastinya tidak asing lagi.

Atlet jelita kelahiran Turki ini adalah pemain bola tampar yang mewakili negaranya ke pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa termasuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dengan ketinggian 1.97m (kira-kira enam kaki lima inci) Zehra yang bermain pada posisi 'middle blocker' digeruni pihak lawan.

AKSI memukau Farah Ann di pentas Olimpik pertamanya.
AKSI memukau Farah Ann di pentas Olimpik pertamanya.

Di luar gelanggang, atlet yang berwajah lembut itu juga memiliki peminat yang ramai dan Zehra turut menjadi model iklan beberapa jenama terkenal seperti Mercedes.

Gadis yang memiliki senyuman menawan itu bermain untuk kelab, Vakifbank Istanbul sejak 2017.

Dalam pada itu, terkenal dengan gelaran atlet paling seksi, kehadiran Alicia Schmidt, 22, di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dinanti ramai peminat baik di balapan mahupun penonton di rumah.

Pelari kebangsaan Jerman dalam acara 4 x 400m itu digilai ramai kerana memiliki raut wajah jelita dan sepasang mata berwarna biru yang cantik.

Dengan potongan badan langsing sempurna ditambah rambut perang mengurai, Alicia antara atlet sukan yang paling diminati ketika ini.

Anak jati Worms, Jerman itu turut dipilih sebagai duta pelbagai jenama antarabangsa dan memiliki jutaan pengikut di laman sosial.

"Sukan adalah minat utama saya dan peluang beraksi di pentas Olimpik Tokyo umpama mimpi jadi kenyataan bagi semua atlet.

"Saya masih tidak percaya namun pada masa sama cukup teruja untuk merasai sendiri pengalaman bertanding di kejohanan terulung dunia.

PENERJUN negara yang beraksi cemerlang di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Nur Dhabitah.
PENERJUN negara yang beraksi cemerlang di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Nur Dhabitah.

"Semua ini adalah impian saya sejak pertama kali menyertai acara sukan ini," kata Alicia yang percaya bahawa wanita hanya memerlukan minda, buku dan cita-cita yang besar untuk berjaya.

Hend Zaza dari Syria pula mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi atlet paling muda menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet pingpong berusia 12 tahun itu adalah atlet Syria pertama yang bertanding dalam acara itu atas kelayakannya sendiri dan bukan jemputan.

Dia berada di kedudukan ke 155 ranking dunia apabila memenangi Jelajah Kelayakan Olimpik Asia Barat di Jordan yang membolehkannya meraih tempat ke sukan Olimpik.

Sementara itu, kehadiran ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi dan penerjun, Nur Dhabitah Sabri turut mencuri tumpuan ramai pada pusingan awal temasya Olimpik Tokyo.

Farah Ann yang tampil buat pertama kali di pentas Olimpik menamatkan saingan di tangga ke-68 daripada 85 peserta selepas mengumpul 48.656 mata di Pusat Gimnastik Ariake di Tokyo dalam saingan kelayakan.

Meskipun gagal ke pusingan berikutnya, namun semangat kesukanan dan senyuman yang sentiasa terukir di wajahnya menjadikan atlet kelahiran Subang Jaya, Selangor itu menjadi buruan lensa kamera.

Farah Ann muncul gimnas ketiga Malaysia layak ke Olimpik selepas Au Li Yen pada edisi 2000 (Sydney) dan Shu Wai pada 2004 (Athens).

Selain itu, penerjun wanita negara, Nur Dhabitah mungkin terlepas pingat di Sukan Olimpik 2020, namun penampilan memenangi hati seluruh rakyat Malaysia dengan senyuman yang menawan.

Penerjun kecil molek itu tidak pernah lekang dengan senyuman dan ramai menganggap dia antara atlet yang menikmati sepenuhnya momen indah ketika pertandingan.

Aksinya yang konsisten melayakkan penerjun unggul negara itu meraih kedudukan tempat keempat daripada 12 penerjun dalam acara akhir tiga meter papan anjal individu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 7:00 AM