BRAZIER (kanan) selepas tamat perlumbaan. FOTO AFP
BRAZIER (kanan) selepas tamat perlumbaan. FOTO AFP
AFP

Eugene, Amerika Syarikat: Juara dunia 800 meter Donavan Brazier tewas mengejut di Kejohanan Ujian Trek dan Padang Amerika Syarikat di Oregon awal pagi tadi.

Acara final itu dimenangi Clayton Murphy dan paling memalukan apabila Brazier menduduki tempat terakhir dan gagal ke Sukan Olimpik Tokyo.

Murphy pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016 mempamerkan larian bertenaga dengan memintas Isaiah Jewett dengan catatan terbaik dunia tahun ini iaitu 1minit 43.17 saat.

Jewett pelajar di Universiti Southern California menduduki tempat kedua dengan catatan peribadi terbaik 1:43.85 untuk mengesahkan tiket ke Tokyo manakala Bryce Hoppel ketiga dengan 1:44.14.

Kekalahan Brazier adalah kejutan terbesar di kejohanan itu setakat ini.

Pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 2019 itu yang mahu menebus kekecewaan pada ujian Olimpik 2016 bermula cemerlang pada peringkat saringan dan tampak selesa pada separuh akhir Sabtu lalu. Dia mudah layak selepas menduduki tempat kedua di belakang Murphy.

Pada aksi final semalam, dia berada dalam kedudukan baik menuju 200m terakhir tetapi gagal mendapatkan pecutan tambahan sehingga dia dipintas Murphy.

Brazier kemudiannya mengakui tersilap percaturan selepas agak laju pada pusingan awal menyebabkan dia kehilangan tenaga menuju penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 11:04 AM