Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Seorang tukang baiki telefon bimbit dan kenalannya warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memberikan suapan RM90,000 kepada seorang pegawai polis tahun lalu.

Tertuduh, Law Wen Xiang, 32, dan Donavan Sia Qi Xun, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa memberikan rasuah iaitu suapan wang tunai RM90,000 kepada seorang pegawai polis yang juga Pegawai Risikan dan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas Donavan yang melakukan kesalahan menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bagi perbuatan yang dilakukan di hadapan sebuah restoran di Jalan Suria 19, Taman Suria di sini, jam 5.45 petang, 17 Oktober 2022, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, kedua-dua tertuduh turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pilihan iaitu memberikan suapan terbabit kepada pegawai polis berkenaan sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas Donavan atas kesalahan menipu itu.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Chan Choon Yew memaklumkan tiada sebarang jaminan ditawarkan memandangkan kesalahan dilakukan kedua-dua tertuduh adalah tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan jumlah jaminan RM70,000 kepada setiap tertuduh sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan ikat jamin.

Peguam K Veeranesh Babu yang mewakili Wen Xiang sebagai tertuduh pertama memohon jaminan yang rendah diberikan dengan alasan anak guamnya yang bekerja sebagai tukang membaiki telefon bimbit hanya berpendapatan RM2,000 sebulan serta perlu menanggung ibunya yang berusia 66 tahun selepas bapanya meninggal dunia tahun lalu.

Manakala, peguam Mohamad Isa Mohamad Basir yang mewakili tertuduh kedua, Donavan pula memberikan alasan anak guamnya yang juga warga Singapura itu masih bergelar pelajar tahun pertama di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.

"Tertuduh bergantung dengan wang perbelanjaan diberi ibu bapanya dan dia juga menanggung seorang anak berusia tiga bulan dan kini tinggal bersama teman wanitanya di Taman Nusa Bestari di sini," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 setiap seorang dengan masing-masing seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi pengurusan kes pada 19 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 1:20 PM
LAW Wen Xiang (kanan) dan Donavan Sia Qi Xun, (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan memberikan suapan RM90,000 kepada seorang pegawai polis sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas seorang daripada mereka, tahun lalu. FOTO Izz Laily Hussein
LAW Wen Xiang (kanan) dan Donavan Sia Qi Xun, (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan memberikan suapan RM90,000 kepada seorang pegawai polis sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas seorang daripada mereka, tahun lalu. FOTO Izz Laily Hussein