Serena Williams. FOTO Agensi
Serena Williams. FOTO Agensi
AFP

Paris: Serena Williams melepasi halangan Terbuka Perancis untuk melanjutkan pemburuan gelaran kejuaraan perseorangan Grand Slam ke-24 dengan kemenangan menerusi tiga set ke atas Mihaela Buzarnescu pagi ini, sementara pemain pilihan kelima lelaki, Stefanos Tsitsipas dan pemain nombor dua dunia, Daniil Medvedev turut mara ke pusingan ketiga.

Serena, 39, yang hanya selangkah lagi untuk mengatasi rekod sepanjang zaman Margaret Court bagi pemenang trofi utama paling banyak sejak 2017, terpaksa bergelut sebelum menang 6-3, 5-7, 6-1.

Pemain Amerika Syarikat (AS) yang juga pilihan ketujuh, akan berdepan rakan senegara, Danielle Collins untuk tempat 16 terakhir ketika dia mengintai kejuaraan Terbuka Perancis buat kali keempat, tetapi yang pertama sejak 2015.

"Ia adalah saingan yang bagus, dia beraksi dengan baik dan saya juga beraksi dengan baik," kata bekas pemain nombor satu dunia, yang menarik diri kerana kecederaan ketika kejohanan berlangsung pada dua daripada tiga penampilan terakhirnya di Roland Garros.

Serena sudah menyaksikan dua daripada beberapa pencabar utama kejuaraan gagal memulakan kejohanan atau menarik diri kerana sebab tertentu.

Pemain nombor tiga dunia, Simona Halep, yang menewaskan Serena pada final Wimbledon 2019, menarik diri sebelum kejohanan bermula kerana kecederaan.

Begitu juga dengan penarikan diri secara mengejut oleh pemain nombor dua dunia, Naomi Osaka.

Stefanos Tsitsipas. FOTO AFP
Stefanos Tsitsipas. FOTO AFP

Sementara itu, dalam aksi lelaki, Tsitsipas mempamerkan aksi bertenaga menewaskan wakil Sepanyol, Pedro Martinez 6-3, 6-4, 6-3.

Pemain Greece itu akan berdepan seorang lagi pemain pilihan dari AS, John Isner.

Manakala Medvedev bangkit daripada tewas di set pertama ke atas Tommy Paul dari AS dengan 3-6, 6-1, 6-4, 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 10:56 AM