DJOKOVIC berada di landasan terbaik untuk meraih trofi di Belgrade selepas menang aksi separuh akhir semalam. FOTO EPA
DJOKOVIC berada di landasan terbaik untuk meraih trofi di Belgrade selepas menang aksi separuh akhir semalam. FOTO EPA
AFP

Belgrade: Novak Djokovic mara ke final saingan ATP di Belgrade walaupun mengalami penurunan prestasi di set kedua selepas mengalahkan wakil Slovakia, Andrej Martin.

Pemain nombor satu dunia itu berjaya mengalahkan pemain nombor 119 dunia 6-1, 4-6, 6-0 untuk berdepan dengan seorang lagi wakil Slovakia, Alex Molcan yang menumpaskan Federico Delbonis dari Argentina 4-6, 6-4, 6-4.

Ia adalah perlawanan akhir ketiga pemain Serbia itu tahun ini selepas meraih kejayaan di Terbuka Australia dan tumpas kepada Rafael Nadal di Terbuka Itali minggu lalu.

Bagaimanapun, ini adalah perlawanan akhir pertamanya di laman sendiri sejak 2011.

"Saya sangat gembira dapat beraksi di depan penyokong Serbia. Ini adalah tempat kelahiran saya. Saya sentiasa teruja tapi tetap gementar, selepas masuk ke dalam gelanggang dan beraksi di depan penyokong sendiri.

"Perasaan ini sangat unik. Anda akan berasa sangat tertekan kerana diletakkan harapan tinggi. Bagaimanapun, saya sangat gembira dapat beraksi untuk merebut kejuaraan," kata Djokovic.

Selepas ini ujian lebih besar bakal ditempuhinya apabila diundi sama laluan dengan seteru utama Rafael Nadal dan Roger Federer di Terbuka Perancis yang akan bermula esok.

Djokovic kurang dua kejuaraan di belakang Nadal dan Federer yang gah dengan 20 gelaran Grand Slam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 2:25 PM