KOMBINASI gambar kejayaan Djokovic memenangi kejuaraan Masters Paris sebanyak lima kali. — FOTO AFP
KOMBINASI gambar kejayaan Djokovic memenangi kejuaraan Masters Paris sebanyak lima kali. — FOTO AFP
AFP

PENONTON akan berharap ulangan mini final epik Wimbledon tahun ini antara Novak Djokovic dan Roger Federer selepas dua legenda tenis itu diundi dalam kumpulan sama bagi kejohanan penamat musim Pusingan Akhir ATP minggu depan.

Djokovic, yang boleh menamatkan minggu sebagai pemain nombor satu dunia dan Federer bersaing dalam final lima set yang sengit di Wimbledon apabila pemain Serbia itu bangkit daripada ketinggalan pada set terakhir sebelum menang 7-6 (7/5), 1-6, 7-6 (7/4), 4-6, 13-12 (7/3) dalam masa empat jam 57 minit, final terlama dalam sejarah kejohanan itu.

Pertembungan mereka pada peringkat kumpulan di London bagaimanapun hanya terbaik tiga set – dengan naib juara Terbuka Perancis, Dominic Thiem dari Austria dan pemain Itali, Matteo Berrettini melengkapkan kumpulan itu.

Pemain nombor satu dunia Rafael Nadal dalam satu lagi kumpulan bersama naib juara Terbuka AS tahun ini Daniil Medvedev, Stefanos Tsitsipas dari Greece dan pemain Jerman, Alexander Zverev.

Nadal mengesahkan dia cergas bagi menghadapi pusingan akhir selepas dia menarik diri daripada separuh akhir Masters Paris minggu lalu.

Nadal menggantikan Djokovic – yang menjuarai Masters Paris – sebagai pemain nombor satu dunia namun pemain Serbia itu boleh merampasnya kembali.

Djokovic akan mengungguli tangga teratas jika dia menang dua aksi peringkat kumpulan dan layak ke final dan jika pemain Sepanyol berusia 33 tahun itu – yang belum pernah menjuarai pusingan akhir – tidak bermain atau gagal menang sebarang perlawanan round-robin.

Djokovic turut akan berakhir sebagai pemain nombor satu jika dia menang kejohanan itu dan Nadal tidak layak ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 2:14 PM