Bonnie bersama pingat emas yang dimenangi. FOTO Majlis Olimpik Malaysia
Bonnie bersama pingat emas yang dimenangi. FOTO Majlis Olimpik Malaysia

Bangkok: Atlet para kebangsaan, Bonnie Bunyau Gustin meraih motivasi tinggi menjelang Sukan Paralimpik Tokyo Jepun nanti apabila melakukan kejutan dengan merangkul pingat emas pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok, Thailand, hari ini.

Bonnie, 21, yang berjaya melakukan angkatan seberat 226 kg (kilogram) itu, bukan sahaja mencipta rekod peribadi malah turut meletakkan dirinya dalam senarai teratas atlet layak ke temasya Paralimpik Tokyo 2021.

Atlet kelahiran Sarawak itu turut melakukan angkatan seberat 229.5kg bagi memecahkan rekod dunia 229 kg namun gagal selepas cubaan kali keempat.

Bonnie melakukan angkatan 226kg.
Bonnie melakukan angkatan 226kg.

Dalam saingan berkenaan dia berjaya melakukan angkatan bersih 201kg, 220kg dan 226kg manakala pesaingnya yang lain tidak mampu melepasi angkatan 205kg.

Pemenang pingat perak dari Iran, Nader Moradi hanya mampu mengangkat 204kg. Dia cuba melakukan angkatan 211kg dan 212kg, namun gagal. Atlet Kazakhstan, Alexandr Daskov di tempat ketiga dengan angkatan 140kg.

Kejayaan Bonnie di sini itu, adalah lebih baik berbanding dengan catatan pemenang pingat emas Paralimpik Rio lima tahun lalu, Lu Lei yang melakukan 221kg.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 11:38 PM