Atlet para kebangsaan, Bonnie Bunyau Gustin. FOTO File NSTP
Atlet para kebangsaan, Bonnie Bunyau Gustin. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atlet powerlifting kebangsaan, Bonnie Bunyau Gustin semakin membara untuk memburu emas di Paralimpik Tokyo 2020 apabila berjaya memecahkan rekod dunia hari ini.

Aksi cemerlang atlet kelahiran Sarawak itu dipamerkan di Piala Dunia Para Powerlifting Fazza Ke-11 di Dubai dalam kategori senior lelaki berat melebihi 72 kilogram (kg).

Bonnie memecahkan rekod dunia dengan angkatan 230kg yang sebelumnya dipegang oleh Roohallah Rostami dari Iran dengan angkatan 229kg semasa di Para Asia Jakarta 2018.

Tempat kedua acara berkenaan diraih pemenang pingat perak Paralimpik Rio, Hu Peng dari China yang melakukan angkatan 214kg, manakala gangsa menjadi milik atlet Nigeria, Ndamdi Innocent (213kg).

Bulan lalu Bonnie turut merangkul emas di Piala Dunia Powerlifting Para di Bangkok, Thailand.

Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina MericanĀ mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang dilakar Bonnie.

"Tahniah diucapkan kepada atlet Para Powerlifting Negara, Bonnie yang baru sahaja memenangi pingat emas di kejohanan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Satu kejayaan yang amat membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Semoga dapat mengekalkan momentum, terus konsisten dan bawa semangat ini ke Kejohanan Paralimpik Tokyo 2020 tidak lama lagi. Syabas Bonnie!," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 7:34 PM