Bonnie Bunyau (tengah) ketepikan cabaran atlet para China dan Nigeria.
Bonnie Bunyau (tengah) ketepikan cabaran atlet para China dan Nigeria.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun berjaya memecahkan rekod dunia, atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin tetap merendah diri dan tidak melupakan asal-usulnya.

Selepas cemerlang dalam tempoh tiga tahun berturut-turut bermula dari 2019, atlet kelahiran Sarawak itu mengakui tidak ada rahsia dalam mengekalkan aksi konsisten hanya berpegang kepada prinsip ingin membantu keluarganya.

"Tidak ada rahsia, tapi saya tahu saya orang susah jadi saya bekerja keras untuk membantu keluarga saya," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Bonnie Bunyau (tengah) ditemani pegawai dan jurulatihnya di Dubai.
Bonnie Bunyau (tengah) ditemani pegawai dan jurulatihnya di Dubai.

Bonnie berjaya memecahkan rekod dunia di Piala Dunia Para Powerlifting Fazza Ke-11 di Dubai dalam kategori senior lelaki berat melebihi 72 kilogram (kg) semalam.

Dia memecahkan rekod dunia dengan angkatan 230kg yang sebelumnya dipegang oleh Roohallah Rostami dari Iran dengan angkatan 229kg semasa di Para Asia Jakarta 2018.

"Bagi saya ini adalah pencapaian terbaik saya, dan berharap sangat dapat kekalkan motivasi diri seperti sekarang seterusnya akan membawa balik pingat di Paralimpik Tokyo.

"Kejayaan saya semalam adalah percubaan saja untuk pecahkan rekod di angkatan ketiga, tapi gagal.

"Saya cakap dengan jurulatih untuk cuba lagi di angkatan keempat dan akhirnya lepas, masa itu saya pikir angkatan saya tidak lepas tapi akhirnya berjaya," katanya yang mengetepikan pemenang pingat perak Paralimpik Rio 2016, Hu Peng dari China.

Hu Peng melakukan angkatan 214kg, manakala gangsa menjadi milik atlet Nigeria, Ndamdi Innocent (213kg).

Atlet berusia 21 tahun kelahiran Kampung Baru Mawang, Serian itu meraih emas di Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Kazakhstan pada 2019.

Anak kedua legenda angkat berat para Sukma Sarawak, Gustin Jenang itu turut merangkul pingat emas pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok, Thailand Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 11:26 PM