Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Datuk Seri Ahmad Ismail menjelaskan beliau tidak akan membuat sebarang kenyataan buat masa ini berhubung keputusan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) yang menjatuhkan hukuman penggantungan selama 15 tahun ke atasnya.

Menurut Ahmad, di bulan puasa ini beliau sememangnya tidak mahu membuat sebarang komen demi mahu menjaga kemuliaan Ramadan dan tidak mahu mencalarkan amal-amal di dalam bulan yang mulia.

"Saya bersedia membuat kenyataan media selepas saya menyambut Hari Raya Enam kelak, insya-Allah," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, apa yang mahu beliau katakan ketika ini ialah mereka tidak perlu gerun mendengar keputusan dibuat Astaf.

"Saya tidak rela mencalar bulan penuh berkat ini. Saya tidak akan buat sebarang kenyataan waktu ini. Tunggulah keputusan mahkamah kerana itu lebih wajar dan lebih tepat. Biarlah mereka mendendangkan lagu apa pun jua ketika ini, nasihat saya, kita tidak perlu menari mengikut rentak mereka," kata Ahmad.

Ahmad juga menjelaskan, atas desakan ramai termasuk rakan-rakanya beliau perlu juga buat kenyataan media sekali sahaja dan ia sudah dilakukan pada minggu lalu.

"Kita ada cara kita 'undang-undang mahkamah'. Akhir kalimah, selamat meningkatkan amal kita di sepuluh hari terakhir Ramadan ini dan mudah-mudahan kita diketemukan dengan Malam Lalilatul Qadar, Amin," katanya.

Hukuman penggantungan selama 15 tahun kepada Ahmad berkuat kuasa semalam dan beliau dijatuhkan hukuman itu berdasarkan empat pertuduhan dikemukakan kepadanya kerana melanggar peraturan ditetapkan Astaf. Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan 'Tok Mat' turut didenda sebanyak AS$25,000 (RM102,937).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 5:29 PM