MONFILS lebih selesa beraksi di hadapan penonton yang ramai. FOTO AFP
MONFILS lebih selesa beraksi di hadapan penonton yang ramai. FOTO AFP
AFP

Adelaide: Pemain tenis Perancis, Gael Monfils meraih kejuaraan ke-11 dalam kariernya dan ia adalah trofi yang pertama selepas hampir dua tahun apabila berjaya mengalahkan wakil Russia, Karen Khachanov di saingan Antarabangsa Adelaide hari ini.

Monfils berjaya mematahkan servis Khachanov di setiap set untuk mencatat kemenangan 6-4, 6-4.

Pemain berusia 35 tahun itu mengakui dia bergelut untuk mencari motivasi ketika pandemik kerana dia tidak suka bermain di stadium yang kosong.

Disebabkan itu rankingnya tergelincir dari kedudukan 10 terbaik dunia ke tangga ke-21.

Bagaimanapun, beraksi di depan penonton yang ramai kerana mereka hadir untuk memberi sokongan kepada pemain wanita Australia, Ashleigh Barty, berjaya membantu Monfils untuk mengetepikan Khachanov.

Kedua-dua pemain kelihatan tidak berdepan masalah untuk memegang servis masing-masing.

Bagaimanapun, ketika di kedudukan 4-5 di kedua-dua set, Khachanov kelihatan sedikit gementar sehingga membenarkan Monfils mematahkan servisnya.

Kedua-dua pemain akan kekal terus berada di Adelaide untuk satu lagi kejohanan ATP, di mana Monfils sekali lagi diletakkan sebagai pilihan utama.

Khachanov yang juga pemain ke-29 dunia, akan diletakkan sebagai pilihan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 7:41 PM