Sofia Kenin mengatasi Maddison Inglis pada Kejohanan Tenis Terbuka Australia. FOTO Agensi
Sofia Kenin mengatasi Maddison Inglis pada Kejohanan Tenis Terbuka Australia. FOTO Agensi
AFP

Melbourne: Sofia Kenin memulakan kempen mempertahankan kejuaraan di Terbuka Australia dalam aksi yang kurang meyakinkan sekalipun mencatat kemenangan ke atas peserta wildcard, Maddison Inglis.

Pemain pilihan keempat itu mencatat kemenangan 7-5, 6-4 dalam masa satu jam dan 26 minit, ketika pemain dari Amerika itu menegaskan dia sangat kecewa dengan keseluruhan aksi permainannya.

"Saya sememangnya tidak puas hati dengan corak permainan saya," kata Sofia, yang melakukan 27 kesilapan tak disengajakan.

"Aksi di pusingan pertama saya agak gementar tetapi saya gembira kerana berjaya mara."

Pemain berusia 22 tahun itu kembali ke pentas dengan menjuarai Grand Slam, apabila dia menewaskan Garbine Muguruza dalam tiga set, sebelum dikejutkan dengan kekalahan kepada pemain Sepanyol itu pada aksi pemanas badan di peringkat suku akhir Yarra Valley Classic.

Dia meninggalkan gelanggang dengan tangisan dan kemudian memaklumkan dia berdepan kecederaan pangkal paha kiri, yang mungkin berlaku kerana mengharungi tempoh 14 hari di hotel kuarantin ketika tiba di Australia.

Sofia yang dilahirkan di Moscow, beraksi di Rod Laver Arena, dilihat berpeluang mara dengan mudah tetapi bergelut mencatat kemenangan ke atas pemain Australia ketika kedudukan mata sengit pada set pertama sebelum berjaya mengatasi lawan menerusi rali panjang.

Dia berjaya mengetepikan Maddison, 23, yang tidak memenangi perlawanan di Grand Slam dalam empat percubaannya.

Sofia dijadualkan akan berdepan Kaia Kanepi dari Estonia yang menewaskan pemain dari Latvia, Anastasija Sevastova, 6-3, 6-1.

Kaia sebelum ini muncul naib juara pada aksi pemanas badan saingan Trofi Gippsland.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 10:55 AM