Bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong. FOTO Ihsan FB Cheong Jun Hoong.
Bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong. FOTO Ihsan FB Cheong Jun Hoong.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Masih banyak yang perlu diperbaiki oleh penerjun berpengalaman negara, Cheong Jun Hoong sebelum beraksi di Kejohanan Piala Dunia Terjun Fina 2021 yang akan berlangsung dari 18 sehingga 23 April di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun.

Ia adalah peluang terakhir buat penerjun itu menempah tempat ke temasya Olimpik Tokyo yang menjadi sasaran utamanya tahun ini.

Bagi Jun Hoong yang pernah bergelar juara dunia pada 2017 dan meraih perak di temasya Olimpik Rio 2016 itu, dia sedar masa yang ada sudah tidak banyak lagi, justeru memang dia mengharapkan dapat terus menjalani latihan di Bukit Jalil biarpun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Katanya, latihan pusat amat penting bagi dirinya untuk dia meningkatkan kemampuan diri dalam setiap aspek.

Jun Hoong menyertai Kejohanan Terjun Antarabangsa Malaysia secara maya yang pertama di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, bulan lalu, dan itu adalah kejohanannya yang pertama sejak Mei 2018.

Biarpun tidak menamatkan saingan di kedudukan podium, bagi penerjun kelahiran Perak itu, ia satu petanda baik apabila dapat menilai tahap kemampuan diri selepas sekian lama tidak beraksi di pertandingan kompetitif.

Kali terakhir, penerjun negara berusia 30 tahun itu menyertai pertandingan adalah pada pusingan akhir Siri Terjun Dunia di Kazan, Russia pada Mei 2018, di mana dia memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama bersama seorang lagi penerjun negara, Pandalela Rinong.

Dia kemudiannya menjalani pembedahan pada lutut sehingga memaksanya menarik diri daripada Sukan Asia Indonesia pada Ogos 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 11:07 PM