HAIQAL meraih pingat emas pada Sukan SEA Filipina tahun lalu. FOTO Aizuddin Saad
HAIQAL meraih pingat emas pada Sukan SEA Filipina tahun lalu. FOTO Aizuddin Saad
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kejohanan Simulasi Olahraga yang berlangsung minggu lalu tidak boleh menjadi kayu pengukur siapakah pelari pecut terbaik negara ketika ini.

Ketika tiada sebarang pertandingan dan itu adalah pertandingan pertama yang boleh disertai, pasti banyak aspek yang perlu diperbaiki oleh setiap atlet.

Bagaimanapun buat raja pecut Asia Tenggara, Haiqal Hanafi, dia tekad untuk kembali merebut tempat sebagai pelari terbaik negara tahun hadapan di Kejohanan Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung Januari ini.

Biarpun tewas kepada pelari senior Jonathan Nyepa di kejohanan berkenaan, Haiqal tetap berpuas hati dengan catatannya yang meletakkan dia di tempat kedua.

"Kejohanan itu adalah yang pertama untuk tahun ini dalam acara 100 meter (m) tapi bagi saya ia cukup baik terutama selepas hampir lapan bulan tanpa ada sebarang pertandingan.

"Saya tahu banyak yang perlu diperbaiki terutama kelemahan ketika di blok permulaan sebab dah tak ada pertandingan jadi momentum itu sedikit lari," katanya.

Untuk rekod Jonathan memberikan amaran awal dalam perebutan tempat dalam acara riben biru ke temasya Sukan SEA Vietnam apabila melakarkan 10.60s untuk muncul juara menewaskan Haiqal tempat kedua, 10.65s dan pelari remaja negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi ketiga dengan catatan 10.94s.

"Saya harap tahun depan pertandingan akan mula dianjurkan. Antara yang menjadi sasaran adalah Terbuka Malaysia bulan Januari nanti.

"Tak mustahil saya akan bangkit semula tahun depan dengan catatan yang lebih baik," katanya yang kini menjalani latihan di bawah bimbingan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller dari Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 6:21 PM