JONATHAN (kiri) menewaskan Haiqal (tengah) pada aksi 100m semalam. FOTO Ihsan MSN
JONATHAN (kiri) menewaskan Haiqal (tengah) pada aksi 100m semalam. FOTO Ihsan MSN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Catatan masa 10.60 saat (s) yang dilakarkan oleh Jonathan Nyepa ketika beraksi di Kejohanan Simulasi Olahraga dalam acara 100 meter (m) semalam cukup memberi gambaran jelas apa yang perlu dilakukan olehnya tahun depan dalam usaha untuk memberikan cabaran pada acara riben biru di temasya Sukan SEA Vietnam nanti.

Jonathan membuktikan dia masih lagi yang terbaik dalam acara itu apabila berjaya menewaskan raja pecut Asia Tenggara, Haiqal Hanafi di tempat kedua, 10.65s dan pelari remaja negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi ketiga dengan catatan 10.94s.

Biarpun ia hanya membabitkan cabaran antara sesama atlet namun Jonathan yang pernah berkampung di Amerika Syarikat tahun lalu berkata, dia kini boleh menilai tahap prestasinya dan apa yang perlu diperbaiki lagi selepas ini.

"Untuk tahun ini catatan 10.60s itu kira bagus juga dan saya berpuas hati kerana saya tidak meletakkan sebarang sasaran sebab tiada pertandingan kompetitif yang lain.

"Apa yang penting sekarang ini adalah untuk mendapat kembali rentak pertandingan sebab semua orang tahu tahun ini kekurangan pertandingan.

"Tapi tak mengapa sebabnya semua atlet pun sama. Kami terima kerana Covid-19 ini memang banyak pertandingan sudah dibatalkan," katanya.

Mengulas mengenai saingan semalam, Jonathan yang turut memenangi acara 200m berkata, persaingan yang ada membabitkan tiga atlet normal dan tiga atlet para itu sangat bagus apabila setiap pelari memberi cabaran dan tahu di mana kekuatan masing-masing.

"Dari segi persaingan memang bagus. Sebab kita ada pelari terbaik. Masing-masing cuba untuk 'push' jadi persaingan boleh lebih laju.

"Dari situ juga saya dapat lihat banyak lagi yang perlu diperbaiki namun perlu lebih banyak kejohanan yang besar untuk menggilap prestasi terkini," katanya.

Untuk rekod Jonathan meraih kemenangan dalam acara 200m dengan catatan 21.46s. Berada di tempat kedua adalah Luqmanul Hakim Khairul Akmal yang meraih catatan 21.87s dan Ruslem Zikry Putra Roseli melengkapkan podium di tempat ketiga, 22.09s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 10:39 PM