GOLOVKIN sedia sahut cabaran De La Hoya. FOTO Agensi
GOLOVKIN sedia sahut cabaran De La Hoya. FOTO Agensi
AFP

Los Angeles: Gennady Golovkin memberikan amaran kepada Oscar De La Hoya selepas legenda tinju Amerika Syarikat itu berkata, dia mahu bertarung dengan juara dunia kelas pertengahan itu apabila kembali ke gelanggang.

De La Hoya, 47, yang mengumumkan Ogos lalu bercadang untuk keluar dari persaraan selepas 12 tahun meninggalkan gelanggang berkata baru-baru ini dia mahu bertarung dengan juara dunia IBF itu apabila kembali.

"Anda tahu betapa mudahnya GGG buat saya? Saya sentiasa memberikan tumbukan padu dan sentiasa memusnahkan pejuang sepertinya. Dalam fikiran saya ia akan menjadi sangat mudah," kata De La Hoya kepada Boxing Scene bulan lalu.

Bagaimanapun, Golovkin yang sedang mempersiapkan diri untuk mempertahankan gelarannya menentang Kamil Szeremeta dari Poland, menepis kutukan De La Hoya.

"Anda tahu Oscar, anda tahu betapa kotornya mulut kamu. Apa saja yang akan membabitkan Gennady Golovkin bagi sesiapa saja akan menjadi mimpi ngeri. Dia boleh katakan apa saja.

"Bagaimanapun, ingin saya jelaskan, jika mempunyai peluang untuk membunuh seseorang secara sah di dalam gelanggang, saya akan merebut peluang itu," kata Golovkin.

De La Hoya tidak pernah bertarung sejak dikalahkan Manny Pacquiao pada 2008.

Bagaimanapun, De La Hoya berkeras bahawa dia serius untuk keluar dari persaraan selepas memberitahu ESPN Ogos lalu bahawa dia bersedia berdepan dengan petinju hebat jika ada yang kelapangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 12:17 PM