Oscar De La Hoya. FOTO Agensi
Oscar De La Hoya. FOTO Agensi
Agensi

Paris: Bekas juara dunia, Oscar de la Hoya berkata dia akan melakukan penampilan kembali dalam tinju pada Julai depan iaitu 13 tahun selepas bersara.

De la Hoya, 48, memiliki 11 kejuaraan daripada enam kategori berat dalam tempoh 16 tahun kariernya dan diiktiraf antara petinju hebat dalam sejarah sukan itu.

Pertarungan terakhirnya adalah ketika tewas kepada Manny Pacquiao pada 2008.

Tapi di majlis mempromosikan pertarungan Jake Paul dan Ben Askren pada April, De La Hoya mengumumkan: "Pada 3 Julai, saya akan melakukan pertarungan kembali."

Paul bintang YouTube Amerika akan bertarung dengan bekas atlet UFC, Askren di Atlanta pada 17 April nanti.

Awal minggu ini, De La Hoya memberitahu DAZN dia menjalani latihan beberapa kali. Dia juga menjadikan kemunculan semula juara heavyweight dunia Mike Tyson pada usia 54 tahun ke gelanggang baru-baru ini adalah sebagai contoh.

"Mike Tyson memberi inspirasi sepenuhnya kepada saya." kata De La Hoya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 7:46 PM