SAM Jee Lek meraih pingat emas ketika beraksi pada Sukan SEA tahun lalu di Clark, Filipina. FOTO Aizuddin Saad
SAM Jee Lek meraih pingat emas ketika beraksi pada Sukan SEA tahun lalu di Clark, Filipina. FOTO Aizuddin Saad
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Dance Sport Malaysia (MYDF) akan merangka perancangan terbaik terutama di peringkat pembangunan selepas sukan itu dipertandingkan di temasya Olimpik Paris 2024.

Bagaimana dengan keadaan semasa berikutan pandemik Covid-19, ia sedikit merencatkan pencarian bakat baru selepas tiada sebarang acara atau pertandingan dapat dianjurkan sekali gus memberi kesan dalam usaha memperluaskan sukan itu.

Setiausaha Agung MYDF Chester Lim bagaimanapun berkata, MYDF masih mempunyai masa untuk mempersiapkan barisan atlet terbaik.

Terdahulu Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan acara 'breaking', salah satu pecahan daripada tarian 'breakdancing' akan dipertandingkan di temasya 2024.

Katanya, kemasukan acara itu pada temasya di Paris akan menjadi perangsang kepada atlet negara untuk melakukan persediaan rapi bermula daripada sekarang.

"Ia satu berita yang menggembirakan apabila acara itu akan dipertandingkan di Paris 2024 dan pasti akan memberi rangsangan kepada semua atlet untuk berusaha daripada sekarang.

"Namun perjalanan masih panjang dan pasti banyak perbincangan dan aksi kelayakan akan diputuskan nanti.

"Apa yang penting ketika ini memikirkan cara terbaik untuk atlet kekal bermotivasi kerana tiada sebarang acara atau pertandingan di dalam atau luar negara dapat diadakan, jadi memang susah untuk jalankan program pembangunan ketika ini," katanya.

Turut berharap sukan tarian yang lain seperti Amerika Latin dan Standard yang disenaraikan di temasya Olimpik satu hari nanti, Chester mengakui sukan itu masih baru di Malaysia dan masih kurang pendedahan berbanding sukan lain.

Bagaimanapun Lego Sam (Sam Jee Lek) berjaya membuktikan sesuatu apabila meraih emas di Sukan SEA Filipina 2019 dalam acara 'breaker' dan kini bergelar atlet nombor satu Asia Tenggara dalam acara itu.

Edisi Hanoi akan menjadi temasya sukan dwitahunan serantau ketiga yang mempertandingkan sukan tarian dalam sejarah Sukan SEA selepas kali pertama dipertandingkan di Sukan SEA Korat 2007 dan Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 9:42 PM