SAM menunjukkan tangan kirinya yang patah ketika berusia 14 tahun. FOTO Ihsan SDACA
SAM menunjukkan tangan kirinya yang patah ketika berusia 14 tahun. FOTO Ihsan SDACA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas sukan tarian, breaking disenaraikan di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Malaysia berjaya meraih emas di Sukan Sea Filipina 2019, tumpuan terus terarah kepada Lego Sam untuk menghadirkan sesuatu yang menggembirakan serta dinanti-nantikan rakyat Malaysia.

Lego Sam atau nama sebenarnya Sam Lee Jek mula diletakkan harapan oleh keluarga dan rakan-rakannya untuk menghadirkan emas Olimpik pertama negara selepas meraih kejayaan di Filipina.

"Sudah tentu ini adalah impian dan visi buat semua atlet. Bagaimanapun, saya sedar betapa sukarnya bagi mana-mana atlet untuk mencapai sasaran ini. Keluarga dan rakan-rakan saya sering berkata bahawa saya mampu membawa pulang emas Olimpik pertama negara.

"Saya anggap ia satu sokongan dan dorongan, saya tidak mahu terlampau memikirkan perkara ini sehingga membuatkan saya tertekan. Jika saya tertekan saya tidak mampu memberikan persembahan terbaik. Fokus saya hanya untuk memberikan persembahan terbaik," katanya.

Sam mengakui bahawa peluang untuk meraih emas memang ada namun ia bergantung kepada tenaga dan persembahannya pada temasya berkenaan.

"Saya rasa peluang memang ada, bukan hendak katakan terus menang tapi 50-50. Saya hanya perlu mencuba dan memberikan persembahan paling terbaik," katanya yang akan berlepas ke Paris esok bagi saingan kelayakan pertama Olimpik 2024 di Kejohanan Dunia Breaking bermula 4 Disember ini.

Sam yang akan beraksi di kejohanan dunia bersama seorang lagi wakil negara, Khenobu (Mohd Faridh Mohd Yassin) mengakui dia melakukan persiapan hampir setiap hari bagi meraih mata kelayakan Olimpik.

"Walaupun tiada kejohanan antarabangsa (sebelum ini) saya harus mempersiapkan diri bagi membolehkan tubuh saya membiasakan diri. Sudah hampir tiga tahun saya tidak menyertai sebarang pertandingan antarabangsa, sekarang saya akan beraksi buat kali pertama dengan banyak gerakan baru dan istimewa akan dipersembahkan.

"Selepas saingan di Paris akan ada kelayakan ke Olimpik di Amerika Syarikat pula tahun depan. Bagaimanapun, untuk di Paris ini sebanyak 56 negara bakal mengambil bahagian dan seramai 100 penari b-boys akan berentap. Jika ada saja kejohanan yang menawarkan mata Olimpik saya tidak akan melepaskan peluang untuk menyertainya," kata atlet berusia 26 tahun itu.

Dalam masa sama Sam juga mengakui untuk beraksi di Olimpik nanti dia tidak boleh bergerak sendirian, di mana perlu mempunyai pasukan sokongan seperti jurulatih fizikal dan fisiologi.

"Saya harap mendapat sokongan kerajaan Malaysia, boleh untuk menggunakan kelengkapan di Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Ia untuk menguji setakat mana kemampuan tubuh badan kami kerana sebelum ini kami hanya berlatih bersendirian.

"Apabila mendapat sokongan daripada MSN dan ISN ia mampu untuk membuatkan otot saya lebih kuat dan sebelum ini kami hanya berlatih di studio tanpa bantuan mana-mana jurulatih," katanya yang pernah mengalami kecederaan patah tangan kiri ketika berusia 14 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 7:05 PM