AKSI Nadal ketika bertemu Zverev. FOTO AFP
AKSI Nadal ketika bertemu Zverev. FOTO AFP
AFP

Paris: Rafael Nadal berkata dia menikmati kejohanan yang cukup positif di Paris Masters meskipun tewas kepada Alexander Zverev hari ini dalam persiapannya memburu kemenangan pertama di Jelajah ATP Final.

Pilihan utama itu tewas 4-6, 5-7 kepada Zverev pada aksi separuh akhir di Bercy Arena namun berkata prestasinya di kejohanan itu akan membantunya di Jelajah ATP Final yang bakal berlangsung di London bermula 15 November ini.

"Ia kejohanan yang positif untuk saya. Sudah tentu saya tidak gembira apabila tewas tetapi ia adalah adat perlawanan," kata Nadal yang juga tidak pernah memenangi Paris Masters.

"Saya menghabiskan masa yang lama di atas gelanggang. Sudah tentu saya mahu memenangi kejohanan ini tetapi ia sentiasa sukar.

"Tapi saya sudah berusaha dengan memberi saingan pada setiap perlawanan.

"Ia memberi peluang kepada saya untuk beraksi empat perlawanan yang saya rasakan akan membantu untuk saingan di London. Saya perlu perbaiki beberapa kelemahan lagi."

Sensasi Sepanyol itu beraksi buat kali pertama sejak memenangi Terbuka Perancis buat kali ke-13 di Roland Garros bulan lalu.

Dia meraih kemenangan ke-1,000 sepanjang kariernya ketika bangkit menewaskan Feliciano Lopez pada pusingan kedua dan turut bekerja keras menewaskan Pablo Carreno Busta di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 11:03 AM