SARJIT (kanan) mahu barisan pemain negara memanfaatkan peluang bertemu Belgium, Belanda dan Jerman. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
SARJIT (kanan) mahu barisan pemain negara memanfaatkan peluang bertemu Belgium, Belanda dan Jerman. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Speedy Tigers menjadi pilihan terbaik buat tiga pasukan terbaik dunia untuk melakukan persiapan terakhir sebelum melangkah ke Sukan Olimpik bulan hadapan sekali gus ia juga memberi manfaat kepada pasukan negara.

Ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh berkata, bertemu tiga pasukan terbaik dari Eropah seperti Belgium, Jerman dan Belanda adalah peluang terbaik buat skuad kendaliannya meningkatkan kekuatan pasukan selain mendapatkan pengalaman lebih berharga.

Jelasnya, ketiga-tiga pasukan itu akan beraksi di pentas tertinggi dunia dan sudah pasti mereka akan melakukan yang terbaik agar momentum itu dapat diteruskan ke saingan sebenar nanti.

"Kami bertuah apabila berpeluang untuk mendapatkan pengalaman serta menambah pengetahuan lebih banyak bersama Belgium yang ketika ini berada di ranking nombor dua dunia. Biarpun ini hanya perlawanan persahabatan, sudah tentu pemain akan mendapatkan permainan berkualiti dalam perlawanan itu.

"Pasukan seperti Jerman dan Belanda pula mencari rentak untuk agar mereka berada di landasan terbaik ketika saingan Olimpik bermula nanti. Untuk perlawanan seperti ini, setiap pasukan pasti akan menurunkan barisan terkuat mereka kerana ia platform terakhir untuk mengenal pasti kelemahan pasukan," katanya.

Malaysia akan mengadakan jelajah Eropah menentang Belgium pada 1, 3 dan 5 Julai ini diikuti Jerman (7 dan 9 Julai) serta Belanda (12 Julai).

Selain Belgium, Belanda berada di ranking nombor satu dunia sementara Jerman pula berada di tangga kelima dunia dan Malaysia pula tempat ke-12 dunia.

Melihat dari segi ranking, skuad kendalian Sarjit perlu memanfaatkan perlawanan itu sebaik mungkin kerana tidak mudah untuk bertemu pasukan teratas dunia pada masa yang sama.

Untuk rekod, dua kejohanan utama di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) pada Mei lalu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat selepas tumpas 2-3 kepada New Zealand sementara di Piala Negara-Negara pula skuad negara menamatkan kejohanan itu di tangga ketujuh secara keseluruhan.

Speedy Tigers akan menyertai Piala Juara-juara Asia di Hulunbuir, Inner Mongolia pada 8 hingga 17 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 4:24 PM