AKSI antara TNB dan KL City di suku akhir pertama Piala TNB sebentar tadi. FOTO Bernama
AKSI antara TNB dan KL City di suku akhir pertama Piala TNB sebentar tadi. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini berada di landasan terbaik untuk memburu kejuaraan treble musim ini apabila memulakan saingan Piala TNB dengan gah selepas membelasah Kuala Lumpur City (KL) 7-0 dalam perlawanan suku akhir pertama yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

TNB yang masih segar dengan kejuaraan Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL) bulan lalu, ternyata berada di kelas tersendiri dan sukar untuk digugat oleh lawan dan boleh dikatakan mereka sudah sebelah kaki ke separuh akhir serta tiada masalah untuk mencatat kemenangan dalam pertemuan suku akhir kedua nanti.

Sementara itu, juara bertahan, Terengganu Hockey Team (THT) tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenganan mudah 5-2 ke atas Liaoning Men's Hockey Team (LMHT) pada perlawanan suku akhir pertama.

Meskipun diberi tentangan sengit dari pasukan LMHT sehingga ke suku ketiga, namun pengalaman yang ada kepada pemain THT ternyata membezakan kedua-dua pasukan di suku keempat sekali gus terus menjarakkan kedudukan untuk membawa bekalan selesa bagi perlawanan kedua nanti.

Jika TNB dan THT mampu mengekalkan permainan konsisten dan melepasi halangan di separuh akhir nanti, kedua-dua pasukan bakal bertemu buat kali ketiga musim ini.

Untuk rekod, THT adalah juara treble musim lalu namun musim ini mereka masih ketandusan piala selepas dua piala awal di rampas TNB iaitu kejuaraan liga pada Selasa lalu dan tewas pada Piala Sumbangsih awal Februari lalui menerusi shoot-out 1-3.

Sementara itu, dua lagi perlawanan suku akhir pertama menyaksikan pasukan pilihan Maybank menepati ramalan untuk mencatat kemenangan besar 7-1 ke atas TNB Thunderbolts dan UiTM HA-KPT terpaksa menunggu sehingga suku keempat untuk bangkit mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Nurinsafi Sporting.

Untuk makluman, kesemua perlawanan suku akhir kedua akan berlangsung pada 3 Mac ini di venue sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 11:06 PM