KETUA jurulatih negara, Arul Selvaraj (tengah) memperkatakan sesuatu ketika sesi latihan. FOTO MHC
KETUA jurulatih negara, Arul Selvaraj (tengah) memperkatakan sesuatu ketika sesi latihan. FOTO MHC
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Kapten skuad hoki lelaki negara, Muhammad Marhan Mohd Jalil melaungkan keyakinan bahawa skuad negara mampu melakar kejutan dalam Piala Dunia di Bhubaneswar dan Rourkela, India bermula 13 hingga 19 Januari tahun depan.

Marhan yang juga pemain bagi Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu turut mengakui hasil undian semalam memberikan tanda-tanda positif buat skuad Malaysian Tigers untuk menamatkan saingan di kedudukan lebih baik pada edisi kali ini.

Bagaimanapun, dia tidak mahu terlalu yakin dan mengambil mudah, sebaliknya mengingatkan kepada seluruh barisan pemain agar lebih bekerja keras untuk kejohanan hoki terbesar itu.

"Saya sangat yakin dengan undian untuk Piala Dunia kali ini. Saya tengok ia ada tanda-tanda positif untuk skuad negara dapat habiskan kejohanan di kedudukan yang tinggi.

"Tapi, bagi saya itu bukanlah perkara yang boleh diambil mudah. Apa yang penting setiap pemain perlu lebih bekerja keras untuk pastikan kali ini dapat capai ke suatu tahap yang lebih tinggi," katanya.

Undian bagi kempen Piala Dunia Hoki 2023, semalam menyaksikan skuad Malaysian Tigers diundi dalam kumpulan C bersama-sama pasukan di ranking ketiga dunia iaitu Belanda.

Manakala, dua lagi negara yang akan memberi saingan kepada skuad bimbingan Arul Selvaraj itu adalah New Zealand dan Chile yang bakal membuat penampilan sulung dalam kancah Piala Dunia Hoki.

Terdahulu, Malaysian Tigers mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2023 selepas muncul naib juara di Piala Asia pada Mei lalu dan ini kali kesembilan Malaysia layak ke Piala Dunia dengan pencapaian terbaik adalah tempat keempat pada 1975.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 12:43 PM