Datuk Dr S Shamala
Datuk Dr S Shamala
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad projek khas Wanita negara tidak mahu lagi mengenang nasib malang tidak dapat beraksi di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2021 apabila akan bersiap sedia mengharungi Piala Asia 2022 yang akan berlangsung awal Januari depan di Bangkok, Thailand.

Timbalan Presiden Kesatuan Hoki Malaysia (KHM), Datuk Dr S Shamala berkata, tumpuan skuad negara itu berubah dengan mereka mahu mencipta keputusan positif di Bangkok sebagai persediaan untuk layak Sukan Asia 2026 kelak.

Beliau berkata, penyertaan pasukan terbabit dalam siri kejohanan di luar negara cukup penting bagi memastikan mereka lebih terdedah kepada corak permainan berintensiti tinggi selain turut bersedia menghadapi lawan bertaraf gergasi.

"Sememangnya mereka cukup sedih apabila tidak dapat menyertai ACT di Bangkok selepas melakukan persediaan rapi.

"Namun, kita perlu akur kepada keputusan penganjur dan perlu memandang ke depan dengan bersiap sedia mengharungi kejohanan di Bangkok.

"Setiap kejohanan sekarang ini amat penting buat skuad projek khas itu kerana kita perlu menyiapkan pasukan yang mantap supaya dapat mencipta keputusan positif kelak," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, KHM menerusi kenyataan media memaklumkan skuad projek khas wanita negara tidak dibenarkan untuk beraksi dalam Kejohanan ACT 2021 yang berlangsung di Donghae, Korea sekali gus terpaksa pulang ke tanah air hari ini.

Bagaimanapun dua pemain yang baru-baru ini disahkan positif Covid-19 masih lagi perlu menjalani proses kuarantin yang akan berakhir tidak lama lagi.

Ketua Jurulatih Mohd Nasihin Nubli Ibrahim dan Pengurus Pasukan Siti Noor Amarina Ruhani akan terus berada di Donghae seterusnya pulang bersama dua pemain terbabit.

Mengikut rekod, skuad negara menjalani kuarantin sejak 1 Disember lalu selepas Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif Covid-19 sebaik pasukan itu tiba di Donghae pada 29 November.

Selain itu, dua lagi pemain negara iaitu Fatin Shafika Mohd Sukri dan Nur Atira Mohamad Ismail turut disahkan positif Covid-19 sekali gus perlu menjalani kuarantin di negara terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 10:11 PM