ANTARA aksi Malaysia bertemu Belgium. FOTO FIH
ANTARA aksi Malaysia bertemu Belgium. FOTO FIH
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara berjaya mengikat naib juara 2016, Belgium 1-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan A Piala Dunia Remaja yang berlangsung di Bhubaneswar, India sebentar tadi.

Keputusan yang dicatatkan anak buah Wallace Tan itu mencerahkan sedikit peluang buat skuad remaja negara untuk memburu tempat ke suku akhir dengan syarat sekurang-kurangnya perlu mencatatkan keputusan seri apabila berdepan Afrika Selatan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan petang esok.

Dalam aksi sebentar tadi, skuad remaja negara berjaya menyerap serangan Belgium pada suku pertama dan hanya mempunyai satu peluang untuk menembusi gawang lawan namun percubaan Shamir Rizmi Shamsul sedikit tersasar.

Bersambung pada suku kedua Belgium yang dibimbing Jeroen Baart hampir memecah kebuntuan melalui Thibeau Stockbroekx namun percubaannya juga tersasar.

Bagaimanapun, serangan Belgium itu membuatkan skuad remaja negara lebih bersemangat untuk mengatur serangan balas dan hasilnya berjaya memperoleh jaringan pada minit ke-29 apabila pukulan sudut penalti, Arif Ishak yang diselamatkan penjaga gol, Pierre De Gratie sempat disambut Amirul Hamizan Azhar.

Tersentak dengan gol berkenaan menyebabkan Belgium tertekan untuk mencari gol penyamaan dengan melakukan serangan bertali-arus pada suku ketiga namun penjaga gol, Che Shahrul Azmi Che Saupi bertindak cemerlang menyelamatkan tiga pukulan sudut penalti.

Pada hujung suku ketiga Jeff De Winter yang tidak dikawal hampir menjaringkan gol penyamaan namun mempersiakan peluang walaupun pintu gol negara luas terbuka dan ia diikuti dengan pukulan sudut penalti deras Arif juga sedikit tersasar.

Gol penyamaan yang dicari Belgium akhirnya membuahkan hasil apabila Stockbroekx berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-49.

Sementara itu, Che Shahrul Azmi berkata, hasil kerja keras semua pemain bukannya dia seorang sahaja membolehkan mereka mengikat Belgium sekali gus menebus kekalahan 0-3 dalam aksi peringkat kumpulan di kejohanan yang sama pada 2016.

"Saya mahu mendapatkan prestasi yang baik dan cuba beraksi lebih bagus untuk pertemuan seterusnya (Afrika Selatan)," katanya selepas perlawanan sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 11:51 PM