PEMAIN hoki negara (jersi kuning) bersaing mendapatkan bola dengan pemain New Zealand.  FOTO FIH
PEMAIN hoki negara (jersi kuning) bersaing mendapatkan bola dengan pemain New Zealand. FOTO FIH
Zulkarnain Azman


Bhubaneswar, India: Malaysia terpaksa menanti lebih dua minit sebaik 60 minit masa sebenar tamat sebelum pengadil dari Scotland, Madden Martin mengesahkan kemenangan 3-2 ke atas New Zealand dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023, sebentar tadi.

Ia berikutan pemain New Zealand meminta rujukan video dengan mendakwa pemain negara melakukan kesilapan, namun akhirnya keputusan tetap memihak kepada skuad negara.

Pada aksi berlangsung di Stadium Kalinga itu, ketua jurulatih negara, Arul Selvaraj melakukan sedikit perubahan dalam barisan kesebelasan utama selepas kehilangan Shahril Saabah akibat hamstring.

New Zealand bermula garang apabila mendapat pukulan sudut penalti pada awal permainan, namun kekentalan barisan pertahanan Malaysia berjaya menyelamatkan gawang gol daripada dibolosi.

Malaysia kemudian berjaya mendapatkan pukulan sudut penalti, namun flik dilakukan Razie Rahim sedikit tersasar.

Gol dinanti-nantikan skuad negara akhirnya hadir pada minit ke-9 menerusi penyerang prolifik negara, Faizal Saari yang menyudahkan hantaran penyerang muda, Shello Silverius untuk Speedy Tigers mendahului 1-0 pada suku pertama perlawanan.

Memasuki suku kedua, Malaysia lebih berhati-hati berbanding New Zealand yang meningkatkan tempo permainan bagi menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, tiada sebarang gol dihasilkan untuk kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan aksi seimbang apabila melancarkan serangan ke arah kubu lawan masing-masing.

Skuad negara mengukuhkan kedudukan apabila Razie menebus kekecewaan selepas beberapa kali gagal menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk menjaringkan gol kedua Malaysia menerusi set-piece itu yang menewaskan penjaga gol New Zealand pada minit ke-43.

Memasuki suku keempat, New Zealand dilihat menampilkan aksi berbeza dalam misi mengurangkan defisit gol diraih Malaysia.

Gol ditunggu-tunggu New Zealand akhirnya hadir pada minit ke-52 menerusi pemain tengahnya, Hayden Philips.

Jaringan itu nyata memberi semangat dan New Zealand menyamakan kedudukan selang seminit kemudian menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan penyerangnya, Sam Lane.

Tersentak dengan gol itu, Malaysia kembali memperkemaskan corak permainan dan Faizal sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-56 apabila menewaskan Dominic Dixon dalam situasi satu lawan satu.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kedudukan di tempat kedua Kumpulan C dan akan bertemu pasukan tempat ketiga Kumpulan D dalam aksi crossover.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 5:36 PM