BARISAN pemain skuad negara yang akan beraksi di Bhubaneswar. FOTO MHC
BARISAN pemain skuad negara yang akan beraksi di Bhubaneswar. FOTO MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mahu skuad remaja negara fokus aksi di peringkat kumpulan terlebih dulu dan tidak terlalu memikirkan mengenai saingan kalah mati di Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Razak, melalui perbincangan bersama barisan jurulatih sasaran skuad remaja negara ketika ini adalah melepasi peringkat kumpulan terlebih dulu.

"Kita perlu melalui peringkat demi peringkat seperti menaiki tangga terutama dalam saingan Piala Dunia Remaja seperti ini, ditambah dengan ada pasukan sudah melalukan persiapan lebih lama daripada kita," katanya dalam sidang media pengumuman skuad Piala Dunia Remaja, hari ini.

Ujar Ahmad Najmi, selepas pulang daripada Jelajah United Kingdom (UK), secara keseluruhan pemain muda negara sudah menpamerkan peningkatan.

"Sejak balik dari UK pemain kita sudah tampil aksi terbaik dan saya percaya mereka mampu mengekalkannya di India nanti," kata beliau.

Seramai 18 pemain disenaraikan untuk membawa cabaran negara di kejohanan berkenaan dengan Akhimullah Anuar Esook dilantik sebagai ketua pasukan dan dua lagi pemain diletakkan dalam senarai simpanan.

Ditanya mengenai keselamatan dan tahap kesihatan pemain Ahmad Najmi berkata, penganjur sudah melakukan persiapan rapi bukan saja berkaitan kejohanan tapi Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Semua pasukan akan dipastikan dalam keadaan selamat sebab itulah penganjur membenarkan membawa dua lagi pemain (simpanan).

"Bagaimanapun, kita sentiasa pesan kepada pemain untuk jaga diri masing-masing, jadi mereka sudah biasa dengan keadaan seperti ini dan sentiasa jaga diri bila di India nanti," katanya.

Malaysia diundi dalam Kunpulan A bersama Belgium, Afrika Selatan dan Chile di kejohanan yang berlangsung pada 24 November hingga 5 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 7:04 PM