WAN Sukairi (tiga kiri) bersama Jawatankuasa Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) termasuk Subahan (tiga kanan) selepas perbincangan bagi penganjuran hoki bertaraf antarabangsa di Wisma Darul Iman semalam. FOTO Malik Muhamad
WAN Sukairi (tiga kiri) bersama Jawatankuasa Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) termasuk Subahan (tiga kanan) selepas perbincangan bagi penganjuran hoki bertaraf antarabangsa di Wisma Darul Iman semalam. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


TERENGGANU mengintai peluang untuk menganjurkan kejohanan hoki bertaraf antarabangsa yang bakal disenaraikan dalam kalendar kejohanan tahunan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Pertemuan 'orang kuat' sukan negeri Terengganu dengan delegasi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) ketuai presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal di Wisma Darul Iman selama dua jam semalam jelas membuktikan kuasa sukan tanah air itu berminat untuk menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa itu sebagaimana Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Perak dan Piala Sultan Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penganjuran sukan hoki peringkat antarabangsa boleh dijadikan medan terbaik bukan sahaja untuk kepentingan sukan di negeri dan negara bahkan untuk sektor pelancong.

"Perjumpaan dengan delegasi MHC, Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) dan kerajaan negeri begitu bermakna berbincang bagi merealisasikan penganjuran julung kali kejohanan bertaraf antarabangsa nanti.

"Berikutan pandemik Covid-19 yang masih melanda tanpa noktah, situasi ini memberi ruang masa yang terbaik kepada mereka yang terlibat merancang dengan penuh teliti setiap penganjuran berskala besar itu.

"Jadi sudah tentu Terengganu selaku tuan rumah nanti mempunyai tempoh masa yang cukup untuk kerja-kerja menaik taraf fasiliti sukan hoki yang menepati mengikut piawaian penganjuran seperti mana yang ditetapkan badan induk dunia.

"Pada saya penganjuran sukan hoki ini juga adalah antara alternatif yang mungkin boleh dijadikan serampang dua mata bukan sahaja kepada penggiat sukan itu termasuk pemain malah juga dalam sektor pelancong dan kepentingan rakyat negeri khususnya berkaitan dengan produk yang ada," katanya.

Sementara itu Subahan berkata, Terengganu adalah antara negeri yang paling tepat dan sesuai untuk mengadakan kejohanan hoki bertaraf antarabangsa yang ketiga di Malaysia selepas Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Sultan Johor.

"Saya difahamkan negeri lain juga berminat untuk berkerjasama dengan MHC menganjurkan kejohanan hoki bertaraf antarabangsa ini yang akan diletakkan dalam kalendar dunia.

"Tapi kita merasakan PHNT mampu memikul tanggungjawab ini, dengan adanya bantuan daripada pihak kerajaan negeri, saya nampak Terengganu adalah negeri yang paling tepat dan sesuai untuk kita mengadakan kejohanan hoki antarabangsa yang ketiga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 10:21 PM