Penyerang THT, Mohamad Akhimullah (kanan) tekad beraksi cemerlang. FOTO Ihsan MHL
Penyerang THT, Mohamad Akhimullah (kanan) tekad beraksi cemerlang. FOTO Ihsan MHL
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penggempur Pasukan Hoki Terengganu (THT), Mohamad Akhimullah Anuar Esook menuntut rakan sepasukannya tidak menjadikan rekod pertemuan dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) sebagai sandaran berdepan Maybank pada aksi separuh akhir pertama Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini.

Sebaliknya penyerang kebangsaan itu mengharapkan rakan sepasukannya menggandakan corak permainan bagi mengelak terjerat dengan taktikal skuad lawan.

Pada aksi peringkat liga yang diadakan secara satu pusingan, THT yang dibimbing bekas jurulatih skuad kebangsaan Singapura, K Rajan berjaya menundukkan skuad itu 4-2 pada aksi yang berlangsung pada 18 Mac lalu.

"Maybank salah satu pasukan yang kuat, kita tidak boleh memandang rendah kemampuan skuad itu biarpun kita berjaya melakar kemenangan peringkat liga kerana saingan Piala TNB adalah berbeza.

"Lagipun pasti jurulatih mereka sudah menganalisis corak permainan kami selepas kekalahan itu, ditambah pula pemain lawan juga cukup bagus dan berpengalaman.

"Namun bagi saya peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang, pasukan mana yang mengambil peluang mereka akan menang, jadi musim pertama saya bersama pasukan negeri kelahiran diharapkan mampu memberikan sesuatu yang bermakna selain menuntut rakan sepasukan bekerja lebih keras dan terus kekal fokus sehingga minit terakhir perlawanan," katanya.

Bekas pemain Tenaga Nasional Berhad (TNB) berusia 21 tahun itu yang meledak enam gol dalam saingan MHL musim ini percaya pengalaman luas yang dimiliki pemain adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari, Shahrun Nabil Abdullah, Ismail Abu, Nabil Fiqri Mohd Noor, Muhammad Sufi Ismat Mr Rohulamin dan penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Othman selain ditambah pemain muda berbakat mampu memberikan keputusan yang baik buat pasukan sebelum separuh akhir kedua Rabu ini.

"Selain itu kejayaan muncul naib juara MHL musim ini juga mampu menyuntik semangat kami beraksi lebih baik untuk membawa bekalan selesa sebelum aksi kedua nanti," katanya.

Sementara itu, Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun mengharapkan barisan pemain mampu melakar kemenangan dalam misi melangkah ke final sekali gus memperbaiki rekod musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 5:38 PM