Mohamad Nor Haikal memenangi pingat emas. FOTO Agensi
Mohamad Nor Haikal memenangi pingat emas. FOTO Agensi
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Atlet Malaysia berjaya memenangi dua pingat emas dalam Kejohanan E-Sukan Komanwel bagi acara eFootball (Terbuka) dan Dota 2 (Wanita).

Pemain eFootball Malaysia, Mohamad Nor Haikal Mohamad Noh yang mewakili pasukan bola sepak tempatan, Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya menundukkan pemain dari Scotland 2-0 dalam aksi final awal pagi tadi.

Kejayaan Mohamad Nor Haikal sekali gus menghadiahkan kilauan pingat emas pertama buat Malaysia dalam Kejohanan E-Sukan Komanwel pada kali ini.

Emas kedua pula disahkan oleh pasukan Dota 2 wanita negara selepas berjaya menewaskan England 2-0 pada aksi final.

Pasukan Dota 2 negara yang dibarisi pemain daripada Grills Gaming iaitu Stephanie 'Auroraa' Lim Yuen Lii, Nadrah 'Nada' Saufi, Wong 'HG' Wei Sian, Bette 'iStarx' Chia Hooi Ping dan Tan 'Shizuma' Lyn Xhi berjaya mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan berlangsung.

Walaupun Kejohanan E-Sukan Komanwel tidak secara rasmi menjadi sebahagian daripada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022, namun kejohanan esukan terbabit tetap dijalankan serentak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 9:45 PM