myMetro

Kuala Lumpur: Media Prima Television Networks (MPTN) mencipta sejarah tersendiri apabila portal videonya iaitu Tonton dan saluran ntv7 dipilih sebagai penyiar rasmi kejohanan ESL One Genting DOTA 2 yang akan diadakan di Arena of Stars Genting Highlands.

Penggemar acara e-sukan itu berpeluang menyaksikan lapan pasukan terhandal dunia termasuk Fnatic dari Malaysia
merebut kejuaraan dengan hadiah ditawarkan AS$250,000 (RM1.13 juta) dari 6 hingga 8 Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MPTN, Datuk Kamal Khalid berkata, semua 6.3 juta pengguna berdaftar Tonton boleh menyaksikan siaran langsung pusingan separuh akhir dalam format HD secara percuma.

“Pusingan separuh akhir akan disiarkan pada 6 dan 7 Januari manakala pusingan akhir pada 8 Januari. Saluran ntv7 akan menayangkan pusingan akhir pada 8 Januari mulai jam 6 petang,” katanya.

Menurutnya, selain acara berkenaan, MPTN turut menyiarkan kejohanan 1 lawan 1 yang akan diadakan di Boulevard Driveway, Berjaya Times Square Mall dari jam 10 pagi hingga 10 malam pada 8 Januari.

“Pendaftaran adalah percuma dan ia mula dibuka pada jam 10 pagi serta terhad kepada 32 pemain saja,” katanya.

Kamal berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dalam menyiarkan acara yang semakin mendapat perhatian penggemar e-sukan khususnya DOTA 2.

“Kami akan terus mempelbagaikan kandungan sukan melalui platform media yang kami kendalikan. Penawaran e-sukan dijangka menarik penonton di bandar selain peminat sukan sedia ada.

“Malah, ini peluang terbaik untuk peminat DOTA 2 menyaksikan kejohanan berkenaan walaupun tidak dapat hadir ke lokasi ia berlangsung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 7:30 AM