PASUKAN e-Sukan negara berjaya meraih tiga emas dalam Kejohanan E-Sukan Komanwel.
PASUKAN e-Sukan negara berjaya meraih tiga emas dalam Kejohanan E-Sukan Komanwel.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Kejayaan atlet negara membawa pulang tiga pingat emas dalam Kejohanan E-Sukan Komanwel kali ini membuktikan Malaysia tidak ketinggalan dalam sukan itu di peringkat antarabangsa.

Pengurus pasukan e-Sukan negara, Afiq Fadhli Narawi berkata, ia adalah pencapaian paling cemerlang dilakar ketika ini.

Katanya, prestasi atlet negara turut dipandang tinggi beberapa negara lain yang menyertai kejohanan terbabit.

"Kejayaan ini antara paling cemerlang dalam temasya disertai Malaysia Esports Federation. Prestasi atlet kita pada kejohanan kali ini amat cemerlang.

"Perlawanan mereka sepanjang kejohanan menyaskiakn pasukan Malaysia dipandang tinggi negara lain.

"Pengulas kejohanan pun sering kali mengatakan Malaysia adalah sebuah pasukan digeruni pada temasya kali ini. Pingat emas ini adalah bukti kepada kualiti yang ada pada atlet e-Sukan di Malaysia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Afiq berkata, disiplin tinggi menjadi kunci kejayaan atlet negara dan pada masa sama, dia tidak membiarkan mereka bermain dalam tekanan.

"Kunci kejayaan mereka adalah dedikasi serta disiplin tinggi. Saya tidak memberi apa-apa tekanan kepada atlet yang akan membuatkan mereka risau.

"Saya biarkan mereka berada dalam keadaan tenang dan gembira. Sokongan daripada pegawai yang hadir memberi impak kepada prestasi mereka," katanya.

Terdahulu, kem esukan negara berjaya meraih pingat emas menerusi acara eFootball (Terbuka), Dota 2 (Wanita) dan Dota 2 (Terbuka).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 8:50 PM