WOOD (kiri) jaring gol penyamaan buat Burnley untuk ikat Spurs 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris. -Foto Reuters
WOOD (kiri) jaring gol penyamaan buat Burnley untuk ikat Spurs 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Chris Wood menyumbat gol sulungnya buat Burnley untuk seri 1-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi sekali gus meneruskan badi Tottenham Hotspur di Stadium Wembley.

Spurs semakin hampir meraih kemenangan pertama sejak berpindah ke gelanggang sementara itu ketika White Hart Lane dibangunkan semula apabila Dele Alli membantu mereka mendahului pada babak kedua.

Namun Wood meledak pada minit kedua masa kecederaan bagi membantu Burnley meraih satu mata bermakna Tottenham hanya menang dua daripada 12 perlawanan di stadium kebangsaan itu sejak ia dibuka semula pada 2007.

Spurs dilihat sudah mencukupi untuk bangkit daripada kekalahan kepada Chelsea minggu lalu, namun peminat gagal menyaksikan permainan lancar anak buah Mauricio Pochettino.

Tottenham turun tanpa Victor Wanyama kerana kecederaan lutut dan Son Heung Min memulakan perlawanan manakala pemain termahal kelab Davinson Sanchez berada di bangku simpanan sekalipun menerima permit kerja dan sijil perpindahan antarabangsa.

Tottenham menuai hasil berikutan permulaan cemerlang pada babak kedua.

Alli menyempurnakan sepakan sudut Christian Eriksen pada minit ke-49 selepas Ben Mee gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan percubaan awal pemain tengah England itu kembali kepadanya selepas terkena rakan sepasukan Mousa Dembele.

Wood, yang dibeli dari Leeds United, tenang menyudahkan bola lorongan Robbie Brady untuk membantu Burnley seri sekali gus mencetus ejekan daripada sebahagian 67,862 penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 10:10 AM