PEMAIN import Penang FC, Adriano Narcizo (dua dari kanan) dikepung tiga pemain PDRM FC pada perlawanan di Stadium Bandaraya, malam tadi. FOTO MIKAIL ONG
PEMAIN import Penang FC, Adriano Narcizo (dua dari kanan) dikepung tiga pemain PDRM FC pada perlawanan di Stadium Bandaraya, malam tadi. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Skuad PDRM FC yang kini menghuni tangga ketujuh Liga Super 2023 masih boleh dianggap berada pada kedudukan 'terpuji' selepas mengharungi lapan perlawanan, setakat ini.

Pengendali skuad Sang Saka Biru, Azzmi Aziz berkata, bukan mudah untuk berada di slot pertengahan dengan setiap kali perlawanan anak buahnya bertembung dengan pasukan hebat belaka.

"Saya tidak rasa kami berdepan laluan mudah dengan setiap kali perlawanan berjumpa pasukan lebih 'besar' termasuk dalam kelompok 'top five' musim lalu seperti Sabah FC dan Terengganu FC.

"Kami bermain dengan agak baik meskipun kalah dan terakhir dengan Sri Pahang, dan hari ini (malam tadi) dengan Penang FC, tetapi kami faham pemain sudah mencuba sebaik mungkin," katanya pada sidang media selepas tewas 2-4 di tangan Penang FC di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Azzmi berkata, kesilapan satu dua individu menyebabkan skuadnya dibolosi ditambah terpaksa beraksi dengan 10 pemain sehingga sukar bangkit semula.

Justeru, beliau mahu terus membakar semangat pemain terutama berdepan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada 19 April ini.

"Kami perlu realistik dan bersedia mengecilkan margin (jaringan gol) kerana pastinya ia bukan perlawanan mudah.

"Jadi, kami sedia untuk bertahan sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 9:23 PM