DUA rekaan jersi baharu TFC yang dirasmikan semalam. FOTO FB TFC
DUA rekaan jersi baharu TFC yang dirasmikan semalam. FOTO FB TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penantian peminat setia Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFC II) untuk mendapatkan jersi baharu pasukan kesayangan mereka tertunai selepas Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd melancarkan jersi dua pasukan itu semalam.

Berkonsepkan warna keramat bendera Terengganu, corak dan reka bentuk jersi skuad berkenaan membabitkan aksi di laman sendiri turut sinonim dengan bendera negeri iaitu hitam putih manakala warna 'maroon' dipilih membabitkan aksi di stadium lawan.

Warna hitam pula dipilih sebagai jersi ketiga dan paling istimewa yang dinantikan peminat ialah jersi Piala AFC edisi terhad yang bakal dikeluarkan.

Barisan penaja pula menyaksikan RedOne sebagai rakan penaja utama manakala Al-Ikhsan Sports meneruskan penajaan membabitkan pakaian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dua pasukan bersaudara itu sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi saingan Liga Super dan Perdana musim ini.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan persiapan rapi pasukan termasuk pemilihan pemain import baharu dan juga pemain tempatan adunan pemain muda dan berpengalaman.

"Dengan mengekalkan ketua jurulatih, Nafuzi Zain dan dibantu barisan penolong jurulatih serta jurulatih kecergasan daripada Bosnia, Slobodan Klacar, ia dijangka mampu memberi impak lebih baik kepada prestasi dua pasukan itu berbanding musim lalu.

"TFC Sdn Bhd menghargai komitmen rakan penaja dan melahirkan penghargaan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai penganjur dalam membantu pasukan-pasukan termasuk TFC Sdn Bhd sama ada dalam bentuk kewangan, kemudahan sukan, teknikal mahupun pengurusan.

"Hasil perkongsian bersama MFL, ia banyak membantu melancarkan pengurusan untuk menjadi sebuah kelab profesional ke arah kecemerlangan bola sepak Malaysia apatah lagi TFC bakal bersaing dalam kancah Piala AFC musim ini," katanya ketika pada majlis perasmian jersi secara dalam talian.

Berbekalkan moto 'We Bleed Black & White' musim ini, TFC mengikat lima pemain import baharu iaitu Makan Konate (Mali), David Da Silva (Brazil), Charli De Murga (Filipina), Christopher Herd (Australia) dan Petrus Shitembi (Namibia), manakala TFC II mengekalkan dua import musim lalu, Argzim Redzovic (Montenegro), Jordan Mintah (Ghana) dan pemain baharu kelahiran Jepun Masaki Watanabe.

TFC bakal membuat perhitungan pertama dengan pasukan UiTM pada 6 Mac ini di Stadium UiTM Shah Alam manakala pasukan 'adik' menanti kunjungan pendatang baharu, Skuad Projek FAM-MSN juga pada tarikh sama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 1:20 PM