MANOLO Gabbiadini (kiri) diasak Dan Burn pada aksi Piala FA, sebentar tadi. - FOTO REUTERS
MANOLO Gabbiadini (kiri) diasak Dan Burn pada aksi Piala FA, sebentar tadi. - FOTO REUTERS
Reuters

LONDON: Southampton mara ke separuh akhir Piala FA selepas merakam kemenangan 2-0 ke atas kelab divisyen tiga, Wigan Athletic sebentar tadi, hasil jaringan Pierre-Emile Hojbjerg dan Cedric Soares.

Perlawanan pertama skuad The Saints di bawah kendalian Mark Hughes, yang dilantik Rabu lalu menggantikan Mauricio Pellegrino, bermula dengan perlahan sepanjang 45 minit pertama.

Wigan yang menewaskan tiga pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam saingan Piala FA termasuk Manchester City pada pusingan sebelumnya, gagal memanfaatkan peluang terhidang dan Southampton yang kini di tangga ke-18 liga bangkit lebih berbisa pada babak kedua.

Gol pembukaan hadir pada minit ke-62 apabila Hojbjerg menyempurnakan hantaran sepakan sudut Dusan Tadic.

Southampton berpeluang mengesahkan kemenangan apabila dihadiahkan sepakan penalti ketika permainan berbaki 18 minit, tetapi sepakan Manolo Gabbidiani diselamatkan penjaga gol Wigan Christian Walton.

Gol kedua Southampton menyusul dalam masa kecederaan apabila Soares menyempurnakan gerakan serangan balas yang dicetus Nathan Redmond.

Southampton menyertai Tottenham Hotspur, Manchester United dan pemenang perlawanan antara Leicester City dan Chelsea yang akan berlangsung sebentar lagi. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 12:19 AM