WARD-Prowse meraikan jaringan kedua West Ham. FOTO Reuters
WARD-Prowse meraikan jaringan kedua West Ham. FOTO Reuters
AFP

London: Tottenham yang bermula garang pada permulaan musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) mengalami kekalahan keempat dalam lima perlawanan selepas tewas 1-2 di tangan West Ham, awal pagi tadi.

Skuad Ange Postecoglou menduduki tangga teratas liga pada awal musim apabila menang lapan daripada 10 perlawanan pertama tetapi gagal mengekalkan momentum sejak beberapa minggu lalu dan kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Arsenal.

Spurs yang masih segar dengan keputusan seri 3-3 menentang juara bertahan Manchester City Ahad lalu bermula meyakinkan dalam aksi di Stadium Tottenham Hotspur.

Cristian Romero meletakkan tuan rumah pada awal babak pertama menerusi tandukan hasil sepakan sudut Pedro Porro. Namun pelawat menyamakan kedudukan menerusi rembatan Jarrod Bowen sejurus selepas rehat dan James Ward-Prowse melengkapkan kebangkitan pasukannya hasil tolakan jarak dekat minit ke-74.

Pengurus West Ham, David Moyes berkata, pasukannya mempunyai kemampuan walaupun ketika ketinggalan.

"Prestasi yang hebat kerana kualiti lawan," katanya kepada Amazon Prime. "Tapi kami dapat atasi mereka malam ini. Kami terpaksa bekerja keras dan usaha itu berhasil.

"Kualiti Tottenham ditampilkan pada babak pertama, saya tak tahu jika kami dapat memegang bola lapan atau sembilan minit."

Kekalahan itu juga bermakna yang kelima Spurs selepas mendahului lawan, tewas empat dan menang sekali dalam perlawanan terbabit.

Kapten Spurs Son Heung-min menggesa rakan sepasukannya supaya lebih tajam melakukan tindakan penyudah.

"Anda mendahului lawan lima kali berturut-turut sebelum ini dan kemudiannya tewas memang tidak dapat diterima," katanya.

Kekalahan itu meletakkan Spurs di tangga kelima dengan tiga mata di belakang kelompok empat teratas manakala West Ham di tangga kesembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 7:36 AM