MAURICIO Pochettino (kanan) dilihat kecewa dengan prestasi barisan pemainnya. FOTO REUTERS
MAURICIO Pochettino (kanan) dilihat kecewa dengan prestasi barisan pemainnya. FOTO REUTERS
Reuters

London: Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino kecewa dengan aksi tidak konsisten pasukannya selepas dibelasah Arsenal 5-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Kekalahan itu berlaku hanya beberapa hari selepas mereka memberi saingan sengit kepada Manchester City sebelum tewas pada aksi separuh akhir Piala FA.

Leandro Trossard membuka tirai jaringan di Emirates sebelum Ben White dan bekas pemain Chelsea, Kai Havertz, kedua-duanya menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua untuk memastikan kemenangan terbesar kelab London utara itu.

Kekalahan itu berlaku selepas Chelsea mengharungi lapan perlawanan tanpa kalah dalam liga, dan memberi tamparan kepada harapan mereka untuk merebut tempat di pentas Eropah musim depan.

"Apabila kami mengalami hari yang buruk, kami sangat teruk. Apabila kami bagus, kami mampu melakukan segala-galanya," kata Pochettino kepada pemberita.

"Kami tidak boleh menyalahkan pemain, saya tidak akan menyalahkan pemain. Kami tidak boleh menyalahkan pemain muda yang hadir ke sini selepas mengalami beberapa masalah, datang ke sini untuk menentang pasukan yang bersiap sedia memenangi Liga Perdana.

"Memang benar kami kecewa dengan prestasi kami, tetapi saya tidak akan mengatakan sesuatu yang tidak adil untuk menggambarkan pasukan kami, pemain kami, skuad kami," katanya lagi.

Chelsea akan berkunjung ke Aston Villa yang menduduki tempat keempat, Ahad ini sebelum menerima kunjungan Tottenham Hotspur pada 3 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 1:31 PM