PEMAIN Lazio bergembira selepas tamat perlawanan menentang Inter Milan di Stadium Giuseppe Meazza.
PEMAIN Lazio bergembira selepas tamat perlawanan menentang Inter Milan di Stadium Giuseppe Meazza.
Reuters

MILAN: "Kami hampir tersingkir tapi kami lebih berhak mara dan sepatutnya menang lebih awal. Selepas ini peluang kami untuk membalas dendam ke atas Milan,” kata Ciro Immobile selepas pasukannya, Lazio mara ke separuh akhir Coppa Italia menewaskan Inter Milan 4-3 melalui penentuan penalti. Kedua-dua pasukan seri 1-1 selepas masa tambahan, awal pagi tadi.

Immobile meletakkan Lazio di depan pada babak kedua tambahan masa tetapi Mauro Icardi menyamakan kedudukan hasil penalti minit ke-125 yang menyaksikan banyak peluang terlepas, aksi menyelamat oleh penjaga gol, kad merah dan keputusan VAR.

Gol Icardi bagaimanapun gagal membantu ketika penjaga gol Lazio, Thomas Strakosha menyelamatkan dua penalti daripada pemain gantian Lautaro Martinez dan Radja Nainggolan seterusnya membantu kemenangan pasukannya dan akan berdepan AC Milan pada separuh akhir.

Inter sepatutnya boleh mendahului pada pertengahan perlawanan apabila Strakosha menepis sepakan Joao Mario tetapi rembatan Antonio Candreva melepasi palang.

Penjaga gol Inter, Samir Handanovic melakukan aksi terbaik untuk menyelamatkan cubaan Felipe Caicedo dan Immobile pada penghujung 90 minit kemudian Martinez melepaskan peluang terbaik buat Inter apabila menyepak liar dari jarak enam meter.

Immobile meletakkan Lazio di depan hasil hantaran bola bersama Caicedo tetapi selepas itu pemain Inter, Kwadwo Asamoah dilayangkan kad merah kerana kekasaran tetapi ditukar kepada kuning selepas melihat semula rakaman VAR.

Aksi separuh akhir berlangsung pada 27 Februari dan 24 April.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 9:39 AM