SERAMAI 30 pengadil termasuk tiga pengadil wanita dipanggil untuk menyertai projek Akademi Pengadil Profesional. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
SERAMAI 30 pengadil termasuk tiga pengadil wanita dipanggil untuk menyertai projek Akademi Pengadil Profesional. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasminya melancarkan Akademi Pengadil Profesional yang bertujuan untuk melahirkan pengadil berprestasi tinggi bagi mengadili perlawanan Liga Super Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.

Pelancaran itu disempurnakan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM pada Majlis Makan Malam Pengadil FAM 2024 yang berlangsung di Hotel Armada, Petaling Jaya, malam ini.

Menurut Sivasundaram, seramai 30 pengadil termasuk tiga pengadil wanita dipanggil untuk menyertai projek Akademi Pengadil Profesional bagi batch pertama iaitu bermula tahun 2023 hingga 2025.

"Bagi batch pertama ini, FAM telah memilih pengadil-pengadil muda dan berpotensi yang mana umur mereka di antara 20 hingga 32 tahun.

"Pengadil-pengadil ini akan diuji dari segi aspek kecergasan, kesihatan, undang-undang permainan serta literasi (kebolehan menulis dan membaca) dalam bahasa Inggeris. Sebanyak sembilan modul perlu diikuti oleh mereka," katanya.

Katanya lagi, seramai lima pengadil daripada kumpulan ini juga dipilih untuk dilatih sebagai pengadil VAR.

"Matlamat terakhir kita bagi batch pertama Akademi Pengadil Profesional ini adalah untuk menyediakan pengadil-pengadil yang berprestasi tinggi bagi Liga Super Malaysia pada 2026," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 10:37 PM