AKSI persahabatan antara Penang FC dan TFC semalam. FOTO GHAZALI KORI
AKSI persahabatan antara Penang FC dan TFC semalam. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Penang FC mengintai seorang lagi pemain import bagi memperkasakan lagi pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Ketua jurulatihnya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, kelab bimbingannya memerlukan 'arkitek' import yang mampu membantu jentera serangan pasukan itu.

Bekas penyerang kebangsaan itu berkata, beliau sudah memiliki nama calon yang sesuai dari Amerika Latin, namun perancangan itu perlu mendapat persetujuan daripada pihak pengurusan.

Setakat ini skuad itu sudah mengikat empat tonggak import iaitu Moon Gun Young, Rodrigo Dias, Moon Gun Young, Rafael Vitor dan Richmond Ankrah yang dipinjamkan daripada Selangor FC.

"Esok (hari ini) pihak pengurusan akan mengadakan mesyuarat, berkemungkinan akan ada kata putus sama ada saya boleh membawa seorang lagi key player di bahagian tengah menyerang itu.

"Besar harapan saya perkara itu dapat direalisasikan bagi memastikan jentera tengah dan serangan pasukan lebih mantap," katanya ketika ditemui selepas perlawanan Kejohanan Empat Penjuru Pramusim menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, TFC menang tipis 1-0 menumpaskan skuad Harimau Kumbang itu hasil jaringan penyerang baharu kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade pada babak kedua.

Ketika ditanya kesebelasan utama pasukannya pada musim ini, jurulatih muda itu sudah ada bayangan, namun masih belum memutuskan lagi bagi memberi peluang kepada semua pemain untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

"Semua pemain yang ada dalam pasukan ini saya yang pilih. Jadi sama ada pemain baharu atau pemain muda yang dinaikkan 'pangkat' daripada skuad bawah 23 Tahun atau yang dikekalkan daripada musim lalu mempunyai peluang sama rata untuk membarisi kesebelasan utama.

"Jadi terpulang pada pemain bagaimana mereka nak ambil peluang untuk buktikan keupayaan masing-masing kerana sasaran kita untuk mengakhiri liga di tempat yang terbaik musim ini," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 4:21 PM