Pemain Terengganu FC menjalani latihan bawah kendalian Tomislav Steinbruckner. FOTO Ghazali Kori
Pemain Terengganu FC menjalani latihan bawah kendalian Tomislav Steinbruckner. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mencabar anak buahnya agar dapat meningkatkan prestasi masing-masing sebelum Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya pada 10 Mei ini.

Jelas jurulatih kelahiran Croatia itu, tiada istilah pilih kasih dalam kesebelasan utama pasukannya biarpun pemain berkenaan bertaraf import ataupun kebangsaan.

"Sekarang dalam pasukan ada beberapa pemain baharu, cabaran sudah pasti baharu ditambah pula pemain yang hadir itu berkualiti, ianya begitu menggembirakan kami.

"Namun saya ingatkan semua pemain agar dapat meningkatkan prestasi masing-masing dengan memperagakan kualiti mereka, saya tegaskan tiada tempat buat pemain yang gagal menunjukkan prestasi terbaik biarpun mereka bertaraf import ataupun kebangsaan.

"Bagaimanapun saya percaya tiga pemain tempatan dan dua import baharu serta pemain sedia ada adalah dalam kalangan pemain yang berkualiti dan mampu memberikan impak yang positif dan nafas baharu buat pasukan pada musim yang pasti lebih mencabar ini," jelas jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu.

Setakat ini skuad itu sudah membawa masuk dua pemain import baharu iaitu Ismaheel Akinade (Nigeria) dan Mathew Steenvoorden (Belanda) serta tiga pemain tempatan iaitu Akhyar Rashid, Safawi Rasid serta Akram Mahinan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 2:33 PM