DARREN Lok.
DARREN Lok.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyerang kebangsaan, Darren Lok mahu membuka buku baharu dengan mempertingkatkan keupayaan dan kemampuan pada baki kempen saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan berlangsung Jun ini.

Darren berkata, kekalahan kepada Oman tempoh hari memberi pengajaran untuk skuad kebangsaan supaya lebih bersedia dan mempertingkatkan keupayaan bagi mengharungi perlawanan menentang Kyrgyzstan di gelanggang lawan pada 6 Jun depan sebelum melayan kunjungan Taiwan di tempat sendiri, lima hari kemudian.

Katanya, skuad kebangsaan masih lagi mempunyai peluang untuk mara ke pusingan seterusnya namun dengan syarat tidak lagi beraksi sambil lewa pada baki perlawanan akan datang.

"Kami masih ada lagi dua perlawanan, jika ada keajaiban, kami masih ada peluang. Saya fikir lebih baik kita semua jangan berputus asa. Pemain, jurulatih, penyokong, jangan putus asa, kita berjuang hingga penamat.

"Ia satu perlawanan yang baik. Kita mengawal banyak aspek permainan tetapi kita bergelut mencipta peluang penyudah yang baik pada pertemuan menentang Oman baru-baru ini.

"Apa yang harus kita lakukan adalah perbaiki corak permainan selain tampil lebih bersedia kelak,"katanya.

Mengikut rekod, Harimau Malaya kini berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan dan Oman yang terikat sembilan mata dan menghuni dua kedudukan teratas.

Skuad kendalian Kim Pan-gon perlu menang baki dua perlawanan Kumpulan D sekiranya ingin layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Selain itu, Darren berharap barisan pemain negara berada pada tahap terbaik bagi aksi pada Jun depan kerana saingan Liga Malaysia 2024/2025 akan bermula pada Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 2:39 PM