Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir ke program Iftar @ Kuala Lumpur di Dataran Merdeka. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir ke program Iftar @ Kuala Lumpur di Dataran Merdeka. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Fahmy Azril Rosli


TIMBALAN Perdana Menteri meminta semua pihak menghormati institusi Raja-Raja Melayu dengan tidak mengeluarkan kenyataan menyentuh perkara sensitif.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, individu terbabit perlu mendokong tatasusila sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan supaya tidak melampaui norma sensitiviti.

“Pada pendapat saya, mungkin kena ada sensitiviti walaupun negara ini ada kebebasan bersuara.

“Kita kenalah jaga tatasusila dan tatatertib terutama apabila menyentuh institusi Raja Berperlembagaan,” katanya pada sidang media selepas berbuka puasa bersama 10,000 pengunjung di program Iftar@Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Datuk Kadir Jasin yang melepaskan jawatan sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan, dipercayai kerana mendedahkan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, yang mencecah ratusan juta ringgit.

Sementara itu, pada program sama, Timbalan Perdana Menteri berkesempatan menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama pengunjung.

Selepas itu, Dr Wan Azizah melancarkan Malam Tujuh Likur@Dataran Merdeka dengan menyalakan api pelita gergasi sebagai gimik pelancaran.

Turut hadir, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan masyarakat beragama Islam bahawa malam ke-23 Ramadan adalah afdal untuk seseorang itu berdoa sebelum berbuka puasa.

“Satu program kebudayaan dan juga program yang baik untuk tingkatkan iman pada bulan Ramadan.

“Juga satu program yang unik, ramai datang berkelah sekali gus menggambarkan satu silaturahim utuh, selain menunjukkan bahawa Islam itu agama yang merangkumi semua dan tidak kira bangsa, sama-sama kita tunaikan iftar.

“Tahniah dan syabas ucapkan kepada Jabatan Kebudayaan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan semua penaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 9:43 PM