PEMAIN import Pahang Rangers, Felipe (jersi hitam) menyumbang gol kedua di Stadium Tertutup SUKPA. FOTO MOHD RAFI MAMAT
PEMAIN import Pahang Rangers, Felipe (jersi hitam) menyumbang gol kedua di Stadium Tertutup SUKPA. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pahang Rangers FC mula menemui sentuhan apabila membenam Selangor FC 8-4 pada perlawanan kedua saingan Divisyen 1 Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) di Stadium Tertutup SUKPA, di sini sebentar tadi.

Tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk mendapat gol pertama menerusi pemain import, Murilo Saad pada minit pertama permainan, selang dua minit kemudian gol kedua muncul sumbang Felipe De Souza.

Ketinggalan 0-2 pelawat melancarkan serangan dalam usaha merapatkan jurang gol, namun beberapa percubaan yang dilakukan jentera serangan berjaya dipatahkan oleh penjaga gol tuan rumah, Zainulzahin Sinuan.

Usaha pemain Pahang Rangers menambah jaringan terus dilakukan, pada minit ke empat penyerang lincah, Amirul Khairuddin menafikan kebolehan penjaga gol Selangor FC, Syawal Sabaruddin untuk gol ketiga Pahang Rangers.

Permainan menarik dengan serangan kedua pasukan dapat dilihat hingga menimbulkan ketegangan bukan sahaja dikalangan pemain malah turut berlaku pada jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas hingga menyebabkan pengadil melayangkan kad kuning kerana membantah keputusan.

Pada minit ke 12 Hamdin Zarif Mahmun menambah derita pelawat dengan menghasilkan gol keempat untuk menamatkan babak pertama Pahang Rangers berada di hadapan 4-0.

Tuan rumah yang selesa di depan kelihatan leka pada awal babak kedua, akibatnya gawang mereka bolos menerusi, Syahir Iqbal pada minit ke 23, Khairul Effendy (m 26), Matheus Silva (m 35) dan Nazreen Saudi (m 39).

Beraksi di hadapan lebih 6,000 penyokong, tuan rumah bangkit menambah empat lagi jaringan oleh Souza (m33), Amirul (m 17) dan Hamdin Zarif Mahmun (m 30 dan 37).

Perlawanan pertama di gelanggang sendiri menyaksikan pemain tuan rumah Harith Naim dilayang kad merah.

Tamat perlawanan Pahang Rangers menewaskan Selangor FC 8-4.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 11:03 PM