TEN Hag hanya mahu fokus mengenai prestasi pasukan. FOTO Reuters
TEN Hag hanya mahu fokus mengenai prestasi pasukan. FOTO Reuters
Reuters

Manchester: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag berkata dia tidak memerlukan jaminan kedudukannya selaku pengurus pasukan daripada pemilik bersama baharu Jim Ratcliffe di tengah-tengah ketidakpastian mengenai masa depannya, sambil menambah bahawa beliau memberi tumpuan untuk memastikan kelab itu terus cemerlang dan bertambah baik.

Ten Hag dilantik pada 2022 dan membimbing United ke tempat ketiga dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) serta meraih gelaran Piala Liga pada musim pertamanya, tetapi kempen semasa mereka kurang meyakinkan.

Persembahan United musim ini dibelenggu oleh prestasi yang tidak konsisten dan masalah kecederaan, dengan kelab itu berada di tempat keenam selepas kekalahan liga 1-2 kepada Fulham hujung minggu lalu.

Kekalahan itu, yang berlaku hanya tiga hari selepas Ratcliffe berikrar untuk membawa United kembali ke zaman kegemilangan mereka, menambah penelitian dan tekanan yang sengit terhadap Ten Hag.

Ditanya sama ada ia akan memberi manfaat kepada kelab untuk Ratcliffe mengesahkan secara terbuka kedudukan Ten Hag sebagai pengurus jangka panjang United, pengendali itu berkata beliau tidak kisah kerana masih mempunyai kontrak selama tiga musim.

"Saya dalam proses, saya hanya fokus pada proses, jadi saya tidak kisah apa yang berlaku di sekeliling saya," tambah Ten Hag, bercakap menjelang perlawanan pusingan kelima Piala FA di Nottingham Forest.

"Saya mempunyai banyak perbincangan dengan Sir Jim Ratcliffe, juga dengan Sir Dave Brailsford dan yang lain dalam kumpulan itu, jadi saya tahu apa yang kami bincangkan dan saya mempunyai kepercayaan yang kuat dan saya rasa mereka percaya kepada saya.

"Saya mahu menang setiap perlawanan. Saya tahu saya sedang dalam proses itu, saya tahu apa yang saya lakukan. Saya memberi tumpuan kepada dua perkara itu - kemajuan pasukan pada masa ini dan perlawanan seterusnya, dan untuk memikirkan masa depan, dan melakukan itu bersama-sama."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 8:05 PM