Penyerang Napoli, Lorenzo Insigne meraikan jaringan berdepan Bologna dalam aksi Serie A. FOTO AFP
Penyerang Napoli, Lorenzo Insigne meraikan jaringan berdepan Bologna dalam aksi Serie A. FOTO AFP
AFP

Rome: Napoli mencatat lima kemenangan pada lima aksi di laman sendiri musim ini dengan kemenangan 3-0 ke atas Bologna pagi ini, untuk kembali ke puncak carta Serie A.

Rekod 100% Napoli lenyap minggu lalu apabila seri 0-0 di Roma selepas lapan kemenangan berturut-turut skuad kendalian Luciano Spalletti sebelum kembali di landasan terbaik mereka menentang Bologna.

Perancang tengah Sepanyol, Fabian Ruiz meledak gol pembukaan pada minit ke-18 selepas berjaya mengelirukan penjaga gol Bologna dari Poland, Lukasz Skorupski.

Napoli diberikan penalti pada penghujung babak pertama apabila pertahanan dari Chile, Gary Medel dipersalahkan kerana bola terkena tangan ketika cubaannya menghalang Victor Osimhen.

Kapten pasukan, Lorenzo Insigne berjaya menyempurnakan sepakan itu. Insigne menambah gol menerusi penalti kedua selepas 62 minit permainan apabila lawan melakukan kekasaran ke atas Osimhen.

"Saya terlepas beberapa peluang, tetapi saya sentiasa bersedia untuk mengambil penalti," kata Insigne kepada Sky Sport Italia.

"Saya tidak pernah berdepan masalah ini. Hanya sesiapa yang mengambil penalti tidak boleh melepaskan peluang itu. Hari ini saya sangat tenang.

"Tetapi perkara yang paling penting adalah memberi maklum balas kepada kemenangan Milan (1-0 ke atas Torino)."

Napoli yang kini tidak tewas dalam 16 perlawanan di laman sendiri mempunyai 28 mata dan mendahului AC Milan dengan perbezaan jaringan. Juara bertahan, Inter Milan di tempat ketiga, ketinggalan tujuh mata dalam persaingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 8:02 AM