IZHAM gesa pemain jangan takut lapor majikan liat bayar gaji.
IZHAM gesa pemain jangan takut lapor majikan liat bayar gaji.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikenakan kepada bekas pemilik Kuantan FA dan Marcerra United adalah satu petanda aras agar kepada pemilik kelab Liga Malaysia (Liga M) tidak lari daripada menjalankan tanggungjawab mereka untuk membayar gaji kepada pemain.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, keputusan itu adalah sejarah dalam bola sepak Malaysia dan beliau mengingatkan kepada kesemua pasukan Liga M bahawa tindakan tegas boleh dikenakan kepada mereka dan tiada sesiapa terlepas daripada hukuman.

Jelas Izham, pemain tidak perlu takut untuk melaporkan jika ada kelab yang gagal membayar gaji kerana PFAM akan sentiasa bersama pemain untuk menuntut hak mereka mengikut undang-undang.

"Kami dari pihak PFAM sangat menghargai usaha dilakukan oleh pihak peguam kami untuk memastikan hak pemain dapat dibela dan ini juga menjadi satu penanda aras kepada semua pasukan bola sepak di Malaysia untuk mengambil tahu isu gaji, kebajikan pemain dengan lebih serius.

"Kerana kes ini telah menjadi satu bukti sekiranya pasukan ataupun pemilik pasukan masih culas untuk membayar gaji pemain tindakan seperti sebegini (hukuman penjara) boleh dikenakan kepada pengurusan serta juga persatuan.

"Kami mengharapkan usaha dijalankan pemain sendiri dan kami juga tidak akan lupakan jasa dan juga budi perjuangan allahyarham jurulatih Ismail Zakarya yang daripada hari pertama bersama dengan pemain (Kuantan FA dan Marcerra United) untuk yang boleh berlaku dan sentiasalah menjaga hak pemain jika anda tidak mahu tindakan sebegini dikenakan, " katanya.

Pada masa sama, bekas pemain Kuantan FA, Abdul Ghanib Abd Rahman berkata, berterima kasih kepada peguam bela kerana sudah berjuangkan mereka yang tertangguh selama ini.

"Ini sebagai petanda aras untuk kelab bola sepak (di Malaysia) untuk ambil serius. Jangan ambil mudah gaji pemain," katanya yang turut ditemani oleh Izer Hamkha Mohd Haizal (Marcerra United).

Terdahulu Arena Metro melaporkan bekas pemilik Kelab Kuantan FA serta Marcerra United yang bergelar Datuk Seri menjadi individu pertama dalam sejarah Liga Malaysia (Liga M) 'dihumban' ke penjara selepas gagal melunaskan baki tunggakan kepada bekas pemain pasukan itu sekali gus dikenakan hukuman Penjara Sungai Buloh selama tujuh hari.

Peguam bela yang mewakili 47 pegawai dan pemain pasukan berkenaan, Suhail Rahimi Abdul Razak berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan arahan untuk Datuk Seri itu menyelesaikan jumlah baki RM1.5 secara keseluruhan RM3 juta pada 29 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 6:07 PM