SUHAIL mengendalikan tuntutan gaji tertunggak membabitkan bekas pemain dan pegawai Kuantan FA serta Marcerra United. FOTO ARKIB NSTP
SUHAIL mengendalikan tuntutan gaji tertunggak membabitkan bekas pemain dan pegawai Kuantan FA serta Marcerra United. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perjuangan bekas pemain Melaka United dan Sarawak United dalam menuntut tunggakan gaji sebenarnya belum berakhir.

Menurut peguam kepada bekas pemain dan pegawai Kuantan FA serta Marcerra United, Suhail Rahimi, terdapat tiga proses boleh dilalui seorang pemain bola sepak profesional dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) seperti terdapat dalam setiap perjanjian ditandatangani mereka.

Katanya, berdasarkan pengalaman ketika mengendalikan kes tuntutan gaji pemain sebelum ini, proses pertama perlu dilalui dalam menuntut tunggakan gaji adalah melaporkan ke Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terlebih dahulu.

Di peringkat ini, katanya, FAM akan mendengar kes tuntutan tunggakan gaji dan akan mengeluarkan perintah sewajarnya jika didapati isu tunggakan gaji tidak dapat diselesaikan.

Jelasnya, sekiranya proses pertama ini tidak berjaya dan pasukan masih berdegil mematuhi arahan badan induk bola sepak tempatan itu, pemain kemudiannya boleh membawa tuntutan ke proses kedua iaitu dengan memfailkan di Mahkamah Timbangtara Sukan (Arbitrasi).

Selepas itu, katanya, jika proses pertama dan kedua masih gagal mencapai penyelesaian, barulah pemain berhak menuntut dan mengheret isu itu di Mahkamah Sivil.

"Sebelum menandatangani sebarang kontrak, setiap pemain bola sepak perlulah melihat dan meneliti setiap aspek kontrak itu terlebih dahulu kerana satu penelitian perlu dibuat supaya pemain mengetahui hak mereka.

"Di dalam konteks ini, pemain yang tidak mempunyai pengetahuan umum berkenaan dengan sesuatu kontrak itu bolehlah merujuk nasihat peguam bagi memastikan mereka faham akan setiap yang terkandung di dalam sesuatu kontrak itu.

"Secara umumnya, kontrak pemain bola sepak yang kita ada hari ini adalah mengikut peraturan ditetapkan Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan FAM. Namun begitu, pemain dan kelab boleh berunding dengan lebih, jika terdapat terma yang perlu dipinda asalkan ia tidak melanggar peraturan sudah ditetapkan dan dipersetujui kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi.

Ujarnya lagi, kedudukan mengenai prosedur tuntutan haruslah dirujuk berdasarkan kontrak yang sudah ditandatangani oleh pemain bersama kelab.

Katanya, ini kerana kandungan kontrak itu mungkin berbeza mengikut keperluan semasa.

"Apapun nasihat saya, sebelum ambil apa-apa langkah, pemain bolehlah merujuk kepada pihak Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) atau mendapatkan nasihat guaman.

"Dari situ, pihak PFAM dan peguam boleh menasihati langkah yang boleh diambil dan membantu bagi mengenalpasti apa-apa bentuk 'pampasan' yang terdapat dalam sesuatu Kontrak itu," katanya.

Suhail adalah individu yang cukup berpengalaman dalam menangani isu kontrak pemain bola sepak sehingga ke peringkat Mahkamah Sivil.

Untuk rekod, beliau bertanggungjawab memperjuangkan isu tuntutan 47 bekas pemain dan pegawai Kuantan FA dan Marcerra United yang gagal menjelaskan tunggakan gaji sejak 2018 lalu.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan nasib malang terus menghantui pemain Melaka United apabila dikhabarkan tunggakan gaji mereka secara keseluruhan berjumlah RM2.3 juta yang tertunggak hampir setengah tahun atau bersamaan enam bulan seolah beraksi untuk pasukan secara percuma.

Sarawak United pula dilaporkan masih gagal melunaskan tunggakan gaji mencecah lebih RM400,000.

Jumlah terbabit didedahkan PFAM yang mengakui sudah menggunakan pelbagai cara untuk menagih tunggakan itu, namun pemilik dua kelab terbabit masih culas melangsaikan tunggakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 5:38 PM